Pelakon dan penyanyi era 1960-an, Siti Aminah Ismail atau Mimi Loma meninggal dunia dalam tidur pada usia 75 tahun di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di sini, pada jam 2.19 pagi, hari ini.
Berita pemergiannya disahkan oleh anak tunggalnya, Sherina Othman, 48, yang mengakui ibunya pergi dalam keadaan tenang dihadapan keluarga dan jiran. Allahyarham adalah adik kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Mariani Ismail. Sherina berkata, ibunya tidak sakit tenat, namun mengalami cirit birit dan kurang selera makan, sejak beberapa hari lalu. Menurut Sherina, dia bersama anaknya sering memantau pemakanan ibunya dan memberikan ubat agar sakitnya tidak melarat. "Kelmarin, arwah agak lemah dan sukar melelapkan mata. Apabila diberikan susu, arwah muntah dan cirit birit semula.
"Jadi, arwah hanya tidur dan tidak buka mata sepanjang hari, semalam. Apabila dipanggil, arwah tidak menyahut sehingga saya dan anak terpaksa memanggil berulang kali barulah memberi respons perlahan. "Arwah tidak sakit tenat, namun mungkin kepenatan disebabkan tidak sihat, malam sebelumnya. Selalunya, apabila bangun arwah akan segar semula. Namun, saya tidak menyangka itu petanda ibu akan pergi selama-lamanya," katanya. Sherina berkata, kira-kira jam 2.10 pagi, ibunya masih bernafas, cuma semakin perlahan. "Ibu pergi dengan tenang di hadapan saya dan keluarga. Alhamdulillah, kami sempat mengajar arwah mengucap ketika sedang nazak," katanya. Mimi yang membintangi filem Ahmad Albab sudah lama uzur akibat penyakit darah tinggi dan mempunyai masalah penglihatan. Selain itu, Allahyarham tidak mampu berjalan dan sakit belakang selepas terjatuh di rumahnya dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, tahun lalu. Allahyarham meninggalkan seorang cahaya mata dan tiga cucu. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pagi ini. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT