Sebuah pesawat yang terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran di hutan Greece terhempas ketika melakukan pendaratan cemas di sebuah pulau di negara tersebut pada Ahad. Pesawat itu terhempas ketika ia dalam penerbangan untuk memadamkan kebakaran hutan di Pulau Ionian, barat negara tersebut.
Bagaimanapun, juruterbang tersebut terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius ketika pesawat berkenaan mendarat cemas di pulau Zakynthos dan dia turut dibantu oleh beberapa anggota yang terlibat dalam memadamkan kebakaran hutan selepas pesawatnya terhempas, lapor berita ANA. Seorang anggota polis berkata, punca pesawat tersebut terhempas masih belum diketahui. Pesawat itu terhempas ketika pihak berkuasa Greece berusaha memadamkan kebakaran hutan sejak tujuh hari lalu. Kebakaran hutan yang terbesar berlaku di pulau Evia dekat Athens yang menyebabkan ribuan orang bertindak menyelamatkan diri dengan menaiki feri.
Di Evia, kebakaran hutan telah memusnahkan beberapa buah rumah dan menyebabkan ribuan hektar tanah terbakar. Pihak berkuasa telah berusaha untuk memindahkan penduduk dengan 349 individu lagi telah dibawa ke lokasi selamat pada Ahad, kata pasukan pengawal pantai Greece. Sumber: Sinar Harian
|
ADVERTISEMENT