Menjadi anak kepada figura terkenal pasti akan terkena tempias kontroversi atau kemelut melanda ibu bapa mereka. Begitu juga yang berlaku kepada penyanyi Najwa Mahiaddin yang menjadi mangsa kecaman warganet berikutan persepsi negatif masyarakat terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Tak semena-mena dia yang sudah lama tidak mengemas kini Instagram dihujani komen negatif termasuk kata-kata makian. Kurang senang laman sosialnya diserang netizen, Najwa mengambil keputusan menutup ruangan komen pada foto terbarunya yang dimuat naik pada hujung Januari lalu. Bagaimanapun, warganet terus menyerang ruangan komen pada hantaran lama. Namun, segelintir netizen menyifatkan tindakan menyerang laman sosial anak Muhyiddin sebagai satu tindakan tidak rasional. Sementara itu, di Twitter ramai menyindir Muhyiddin sudah boleh 'angkat kaki' dengan memainkan lagu lama Najwa berjudul Got To Go. Bagaimanapun, sehingga kini Najwa dilihat masih mengunci mulut berhubung isu bapanya itu. Apalah yang dirasakannya ketika ini ya? - CARI
|
ADVERTISEMENT