New Delhi: Seorang lelaki di India menarik perhatian dunia kerana mampu tidur selama 300 hari setahun. Pukharam, 42, yang berasal dari sebuah kampung di Bhadwa di Rajasthan menderita 'HPA axis hypersomnia' yang menyebabkan dia boleh tidur sehingga 25 hari secara berterusan.
Pukharam menghidap penyakit berkenaan sejak 23 tahun lalu selepas dia tidur selama 15 jam sehari. Namun, keadaannya semakin meruncing dua tahun kemudian menyebabkan keluarganya merekodkan tempoh tidur mengikut hari, berbanding jam, seperti sebelumnya. Pengusaha kedai itu boleh tidur tujuh hingga lapan hari secara berterusan, malah kini keadaannya lebih teruk apabila tempoh itu meningkat kepada 25 hari.
Dalam 365 hari setahun, Pukharam menghabiskan 300 hari daripadanya dengan tidur. Perniagaannya juga hanya boleh beroperasi lima hari seminggu kerana keadaan kesihatannya. Dia juga adakala tertidur ketika sedang bekerja dan tidak akan sedar walaupun cuba dikejutkan. Apa yang boleh dilakukan keluarganya hanya dengan membawa lelaki itu pulang ke rumah. Keluarganya juga terpaksa memberi makan dan memandikan Pukharam ketika dia sedang tidur. Jadual tidur yang pelik menyebabkan penduduk kampung memberi gelaran Kumbhakaran iaitu nama adik kepada seorang lelaki bernama Ravan yang pernah tidur selama enam bulan. Isteri Pukharam, Lichimi Devi berkata, suaminya bangun pada Ahad lalu selepas 12 hari tidur dan perkara pertama dilakukan adalah membuka kedai runcitnya. Tetapi tiada siapa yang tahu berapa lama Pukharam akan berjaga sebelum dia kembali tidur semula. Setakat ini, tiada sebarang rawatan yang boleh mengubati penyakitnya walaupun sudah mencuba beberapa kali rawatan. Akibat daripada rawatan, dia mengalami sakit kepala dan keletihan melampau namun keluarganya yakin penyakit itu boleh sembuh. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT