Berdepan situasi sukar, bekas penyanyi kumpulan EYE iaitu Izam terpaksa melakukan persembahan secara virtual di media sosial sebagai inisiatif mencari pendapatan. Menurut Izam atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad, 53, dia menggunakan bakatnya sebagai penyanyi untuk menghiburkan orang lain yang kini ‘berkurung’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Kita sedar di musim PKP ni dan memang tak boleh buat show, jadi takkan saya nak minta sedekah dan sumbangan? "Apa yang saya lakukan hari ni iaitu mempertaruhkan nama dan bakat saya untuk buat show secara online, at least boleh menghiburkan orang di rumah. "Terpulang kepada mereka untuk beri sumbangan, saya tak tetapkan jumlah yang mereka nak bagi, " ujarnya kepada mStar. Terdahulu, video nyanyian akustik Izam diiringi petikan gitar anak lelakinya Mohd Ali Haikal mendapat perhatian netizen dan dikongsi lebih 400 kali di media sosial Facebook pada Rabu.
|
ADVERTISEMENT