Pelakon Arash Mohd reda belum dikurniakan cahaya mata selepas 13 tahun berkahwin dengan isteri tercinta, Noor Afidahwati Mohammad, 41. Arash, 51, berkata, dia bersama isteri sentiasa berfikiran positif selain menganggap belum ada rezeki untuk menimang zuriat walaupun pelbagai usaha sudah dibuat.
"Saya sudah 13 tahun berkahwin, tapi belum ada rezeki cahaya mata. Tapi alhamdulillah, kami pun sudah berusaha. Masing-masing okay, cuma tiada rezeki lagi. "Kami macam biasa menjalani kehidupan sama seperti orang lain. Setiap hari adalah bulan madu bagi kami berdua sebab tiada anak. Kami lalui normal saja. "Kami rapat dengan semua anak saudara dan mereka pun rapat dengan kami. Tak pernah rasa kecil hati apabila ada yang tanya sudah berapa anak, sebaliknya kami selesa berterus terang. Tiada masalah pun. "Alhamdulillah, saya dan isteri terima apa berlaku dan lalui sekarang. Kami selalu anggap belum ada rezeki. Mungkin ada sebab Allah tak nak bagi lagi. Mungkin juga ada sebab yang kita tak nampak sekarang. Insya-Allah pada masa depan baharu tahu. Saya percaya pada qada dan qadar Allah. Saya dan isteri reda dengan apa yang berlaku. Usaha tetap usaha, cuma hasilnya belum ada rezeki lagi," katanya.
Arash yang menjadi sohor kini ekoran lakonannya dalam drama Scammer berkata, dia dan isteri juga sering menerima pandangan dan cadangan daripada rakan untuk mengambil anak angkat. "Kami sudah biasa dengan soalan sebegini. Sebab kami jenis terbuka, jadi okay saja. Tiada apa yang perlu dikesali. Kadang-kadang ada juga yang cakap tak nak ambil anak angkatkah. "Niat hati memang nak, tapi ada sebab belum masanya ambil anak angkat. Tak tahu sekarang, mungkin esok lusa dan akan datang baharu tahu kenapa," katanya. Menurut Arash, sepanjang tempoh perkahwinan itu juga, dia dan isteri sudah mendapatkan khidmat nasihat doktor dalam usaha mendapatkan cahaya mata. "Usaha kami lebih kepada perubatan moden di mana mendapatkan khidmat nasihat doktor di hospital. Macam sebelum ini iaitu dalam lima ke enam tahun lalu, isteri pernah menjalani pembedahan sebab ada masalah membabitkan kesihatan wanita. "Selepas itu, doktor pun ada berikan ubat. Semua sudah okay. Cuma belum ada rezeki. Kami tak ada masalah dan tetap gembira," katanya. Bagaimanapun, kehidupan seharian Arash dan isteri terubat apabila ditemani dengan 11 kucing yang dianggap sebahagian daripada keluarganya.
|
Cece1234 replied at 26-6-2021 03:54 PM
Dia ni msti sejenis tenang je..wife dia pun comey..beza umur byk jugak..lawak nama kucing2 dia melay ...
sapeka replied at 26-6-2021 05:31 PM
Ok la tu
Ada anak bukan pengukur bahagia
Bahagia kita yang cari sendiri
ADVERTISEMENT