Walter Elias Disney atau lebih dikenali sebagai Walt Disney (5 Disember 1901 — 15 Disember 1966) adalah seorang penerbit filem, sutradara, juruanimasi dan pelakon suara warganegara Amerika Syarikat yang terkemuka dan kuat berpengaruh dalam bidang hiburan pada abad ke-20. Sebagai pengasas Walt Disney Productions (bersama abangnya Roy O. Disney), Disney merupakan salah seorang penerbit filem tersohor di dunia. Perbadanan yang diasaskannya, kini dikenali sebagai The Walt Disney Company, kini menikmati hasil pendapatan tahunan sebanyak lebih kurang AS$ 35 bilion. Disney terkenal khususnya sebagai seorang penerbit filem dan pengusaha hiburan yang cemerlang, di samping menunjukkan daya inovasi dalam bidang animasi dan reka bentuk taman tema. Beliau bersama kakitangannya telah menghasilkan sebilangan besar watak cereka terkenal termasuk watak animasi Mickey Mouse yang pernah disuarakan oleh Disney sendiri selaku pelakon suara sulungnya. Beliau meraih 59 pencalonan Anugerah Akademi, dengan 26 dimenanginya, termasuk empat dalam setahun, menjadikannya individu yang paling banyak memenangi anugerah dan pencalonan Oscar dalam sejarah. Selain itu, beliau juga meraih tujuh Anugerah Emmy. Taman-taman tema Disneyland dan Walt Disney World Resort di Amerika Syarikat, Jepun, Perancis dan China dinamakan sempena beliau. Zaman kanak-kanak Walter Elias Disney lahir pada 5 Disember 1901 kepada bapanya Elias Disney yang berketurunan Ireland-Kanada, dan ibunya Flora Call Disney yang berketurunan Jerman-Amerika, di 2156 N. Tripp Ave, Hermosa, Chicago.Nenek moyang Walt Disney berhijrah dari Gowran, Kaunti Kilkenny di Ireland. Arundel Elias Disney, moyang kepada Walt Disney, lahir di Kilkenny, Ireland pada 1801. Arundel ialah keturunan Hughes dan anaknya Robert d'Isigny, berasal dari Perancis tetapi berlayar ke England bersama William I pada tahun 1066, maka nama d'Isigny diinggeriskan menjadi Disney. Pada tahun 1906, ketika Walt berusia empat tahun, Elias sekeluarga berpindah ke ladang di Marceline, Missouri, di mana adiknya Roy baru membeli tanah. Sewaktu di Marceline, Walt mengembangkan minat terhadap seni lukis. Salah seorang jiran keluarga Disney, seorang doktor bersara bernama "Doc" Sherwood, mengupah Walt untuk melukis gambar kuda belaan Sherwood, iaitu Rupert. Beliau turut meminati kereta api di Marceline yang dihidupkan oleh perkhidmatan kereta api Atchison, Topeka and Santa Fe Railway yang melaluinya. Walt gemar mendekatkan telinganya dengan landasan untuk menunggu kereta api datang, lebih-lebih lagi yang dipandu oleh bapa saudaranya, iaitu jurutera Michael Martin. Keluarga Disney menetap di Marceline selama empat tahun, sebelum berpindah ke Bandaraya Kansas pada tahun 1911, di mana Walt dan adiknya Ruth menghadiri Benton Grammar School, di mana beliau bertemu dengan Walter Pfeiffer. Kelau Pfeiffer merupakan pelakon teater terkenal yang memperkenalkan persada anekarama dan perfileman kepada Walt. Tidak lama kemudian, Walt lebih meluangkan masanya bersama keluarga Pfeiffer berbanding keluarganya sendiri. Pada masa yang sama, beliau menghadiri kursus kanak-kanak Institut Seni Bandaraya Kansas pada setiap Sabtu. Zaman remaja Pada tahun 1917, Elias membeli saham di kilang jem O-Zell di Chicago lalu memindahkan keluarganya kembali ke bandar itu. Pada tahun yang sama, Disney mula menimba ilmu di Sekolah Tinggi McKinley dan mula menghadiri kursus malam di Institut Seni Chicago. Disney menjadi seorang kartunis untuk akhbar sekolahnya. Karya-karya kartunnya amat berbau patriotik dengan tumpuannya terhadap Perang Dunia I. Disney tercicir dari sekolah pada usia 16 tahun lalu cuba menyetai Tentera, tetapi permohonnya ditolak kerana tidak cukup umur. Selepas ditolak oleh tentera, Walt bersama salah seorang kawannya menyertai Palang Merah. Setelah berjaya menyertai Palang Merah, Walt dihantar ke Perancis selama setahun sebagai pemandu ambulans, ketika gencatan senjata baru ditandatangani pada 11 November 1918. Pada tahun 1919, Walt yang hendak mencari kerja di luar kilang O-Zell di Chicago,berpindah kembali ke Bandar Raya Kansas untuk memulakan kerjaya seninya. Setelah mempertimbangkan sama ada untuk menjadi pelakon atau pelukis, beliau memutuskan untuk melancarkan kerjaya melukis karikatur politik atau komik dalam akhbar. Sayangnya tiada sesiapa yang ingin mengupahnya untuk menjadi pelukis mahupun pemandu ambulans. Mujur abangnya Roy yang bertugas di sebuah bank di Bandar Raya Kansas, mendapatkan kerja sementara di Studio Seni Pesmen-Rubin Art Studio untuk si adik dari rakan sekerjanya. Di Pesmen-Rubin, Disney menghasilkan iklan untuk pihak akhbar, majalah, dan pawagam. Di sinilah beliau bertemu dengan kartunis Ubbe Iwerks. Selepas berakhirnya kerja sementara di Pesmen-Rubin, mereka berdua ketiadaan pekerjaan, lalu memutuskan untuk menubuhkan syarikat sendiri. Pada Januari 1920, Disney dan Iwerks menubuhkan syarikat "Iwerks-Disney Commercial Artists". Sayangnya, syarikat itu tidak kekal lama, dan Disney beralih ke Kansas City Film Ad Company, kemudian diikuti oleh Iwerks yang tidak mampu mengendali perniagaannya secara bersendirian. Ketika bertugas di Kansas City Film Ad Company, di mana beliau menghasilkan ilkan-iklan beranimasi pepotong, Disney menyuburkan minatnya dalam bidang animasi, lantas ingin menjadi juruanimasi. Beliau dibenarkan oleh pemilik Ad Company, A.V. Cauger, untuk meminjam kamera dari tempat kerjanya untuk kegunaan menguji di rumah. Setelah membaca buku Edwin G. Lutz yang berjudul Animated Cartoons: How They Are Made, Their Origin and Development, beliau mendapati animasi sel lebih cerah bagi masa depannya berbanding animasi pepotong yang dikerjakannya untuk Cauger. Akhirnya, Walt hendak membuka perniagaan animasi sendiri, lalu mengupah seorang rakan kerja dari Kansas City Film Ad Company, Fred Harman, sebagai pekerja pertamanya. Walt dan Harman kemudiannya berjaya berurus janji dengan pemilik pawagam tempatan Frank L. Newman, tokoh yang dikenali sebagai pengusaha hiburan tersohor di kawasan Bandar Raya Kansas ketika itu, untuk menyiarkan siri kartun yang berjudul "Laugh-O-Grams" di pawagam tersebut. Anugerah Akademi Walt Disney memegang rekod untuk bilangan pencalonan terbanyak (59) dan kemenangan terbanyak (26). Empat anugerah Oscarnya ialah anugerah khas, dan Oscar yang terakhirnya diraih selepas meninggal dunia. 1932: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "Flowers and Trees" (1932) 1932: Anugerah Kehormat untuk: penciptaan Mickey Mouse 1934: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "Three Little Pigs" (1933) 1935: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "The Tortoise and the Hare" (1934) 1936: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "Three Orphan Kittens" (1935) 1937: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "The Country Cousin" (1936) 1938: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "The Old Mill" (1937) 1939: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "Ferdinand the Bull" (1938) 1939: Anugerah Kehormat untuk Snow White and the Seven Dwarfs (1937) 1940: Subjek Pendek Terbaik, Dwigulung untuk: "Ugly Duckling" (1939) 1941: Anugerah Kehormat untuk: Fantasia (1940), dikongsi bersama: William E. Garity dan J.N.A. Hawkins. 1942: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "Lend a Paw" (1941) 1943: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "Der Fuehrer's Face" (1942) 1949: Subjek Pendek Terbaik, Dwigulung untuk: "Seal Island" (1948) 1949: Anugerah Peringatan Irving G. Thalberg 1951: Subjek Pendek Terbaik, Dwigulung untuk: "Beaver Valley" (1950) 1952: Subjek Pendek Terbaik, Dwigulung untuk: "Nature's Half Acre" (1951) 1953: Subjek Pendek Terbaik, Dwigulung untuk: "Water Birds" (1952) 1954: Dokumentari Terbaik, Cetera untuk: The Living Desert (1953) 1954: Dokumentari Terbaik, Subjek Pendek untuk: "The Alaskan Eskimo" (1953) 1954: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "Toot Whistle Plunk and Boom" (1953) 1954: Subjek Pendek Terbaik, Dwigulung untuk: "Bear Country" (1953) 1955: Dokumentari Terbaik, Cetera untuk: The Vanishing Prairie (1954) 1956: Dokumentari Terbaik, Subjek Pendek untuk: "Men Against the Arctic" 1959: Subjek Pendek Terbaik, Subjek Lakonan Sebenar untuk: "Grand Canyon" 1969: Subjek Pendek Terbaik, Kartun untuk: "Winnie the Pooh and the Blustery Day"
|
ADVERTISEMENT