CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Gaya Hidup Lihat artikel

Mandi Bersama Demi Kasih Sayang, Romantisnya Rasulullah!

18-6-2021 01:53 PM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 3200| Komen: 0

Manja bermaksud sangat kasih dan sangat mesra. Sifat manja ini merupakan sifat yang perlu ada pada pasangan suami isteri bagi menggambarkan kasih sayang antara satu sama yang lain.

Sebenarnya kebanyakan masyarakat kita masih lagi tidak faham akan maksud dan tujuan bermanja-manja antara pasangan suami isteri.



Gambar hiasan/Ide Muslimah

Ini disebabkan malu tak bertempat dan tegas tak kena gaya. Hasilnya mereka tumpul budaya romantik dan kering dalam bercinta.

Yang lebih ganjil lagi, ketika di luar ikatan perkahwinan, mereka bukan main romantik, tetapi apabila sudah bernikah, mereka bersikap dingin dan acuh tak acuh terhadap pasangan.

Umat Islam perlu membezakan antara romantik ala barat dengan romantik yang dianjurkan Islam. Romantik dalam Islam hanya kepada pasangan yang sudah berkahwin yakni sudah mempunyai hubungan yang diiktiraf syarak sedangkan romantik ala Barat, mereka bebas melakukan apa saja tanpa apa-apa batasan. Dalam Islam tidak wujud cinta monyet yang berlandaskan nafsu semata-mata.


Sebaik-baik ikutan yang perlu kita contohi ialah junjungan besar Baginda Rasulullah. Ini kerana kehidupan Baginda Rasulullah penuh dengan kasih sayang sesama keluarga.

Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga, Rasulullah sentiasa bergaul secara baik dengan isteri dan ahli keluarga.

Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta berlemah-lembut terhadap isteri-isterinya termasuk tidak pernah memukul dan menghina mereka sebaliknya sabar dengan kerenah serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan.

Meskipun Rasulullah dikenali sebagai pemimpin yang disegani, Baginda sentiasa peka dan mencuba sedaya-upaya agar isteri tidak tersinggung.

Sikap itu ditunjukkan dengan bersahaja. Antara cinta terhebat Baginda Rasulullah adalah bersama Siti Khadijah. Cintanya Nabi kepada Khadijah sehingga Sabda Baginda Rasulullah kepada Aisyah: Sesungguhnya aku benar-benar telah dianugerahi cinta Khadijah. - [HR Muslim 4464].

Betapa hebatnya romantik Baginda Rasulullah bersama Khadijah yang sentiasa menemani Baginda dan sentiasa bersama Baginda dalam keadaan senang dan susah.

Antara contoh romantik Baginda Rasulullah bersama dengan isteri baginda ialah:


Gambar hiasan/Redaksi

1. Baginda Rasulullah mandi bersama isteri

Aisyah pernah menceritakan bahawa: Aku pernah mandi bersama Rasulullah dari satu bekas Dan Baginda mendahuluiku (mengambil air dari bekas tersebut), sehingga aku katakan: Sisakanlah untukku, sisakan untukku. Sedang keduanya dalam keadaan junub. - [HR Muslim 485].

Hadis ini menunjukkan bagaimana romantiknya Baginda Rasulullah bersama Isteri dalam keadaan mandi bersama.


2. Baginda mendukung isterinya

Baginda Rasulullah juga seorang yang kuat dan gagah sehingga mampu bermanja dengan isterinya dengan mendukung mereka.

Diriwayatkan dari Aisyah: Ketika saat Hari Raya, biasanya ada dua budak Sudan yang memperlihatkan kebolehannya mempermainkan tombak dan perisai.

Maka ada kalanya aku sendiri yang meminta kepada Baginda Nabi, atau Baginda sendiri yang menawarkan kepadaku: "Apakah kamu mahu melihatnya?" Maka aku jawab: "Ya, mahu." Maka baginda mendukung aku di belakangnya, sementara pipiku bertemu dengan pipinya sambil Baginda berkata: "Teruskan hai Bani Arfadah!" Demikianlah seterusnya sampai aku berasa bosan lalu Baginda berkata: "Apakah kamu merasa sudah cukup?" Aku menjawab: "Ya, sudah." Lalu Baginda berkata: "Kalau begitu pergilah." - [HR Bukhari 897].


3. Rasulullah menyantuni isteri dengan baik apabila disapa

Dari Shafiyyah binti Huyay berkata; Ketika Rasulullah sedang melaksanakan itikaf aku datang menemui beliau di malam hari, lalu aku berbincang-bincang sejenak dengan beliau, kemudian aku berdiri hendak pulang, beliau juga ikut berdiri bersama aku untuk mengantar aku. - [HR Bukhari 3039].

Begitu romantiknya nabi tidak memarahi isterinya yang ingin berbual-bual dengan Baginda Rasulullah walaupun Baginda di masjid sedang melakukan ibadah kepada Allah.


4. Memanggil isteri dengan panggilan manja

Baginda juga memanggil isterinya dengan panggilan manja. Antaranya Baginda memanggil Aisyah dengan 'Aisy. Sabda Baginda Rasulullah: "Wahai 'Aisy (sebutan untuk Aisyah), ini adalah Jibril, ia menitipkan salam untukmu." Lalu aku menjawab: "Wa'alaihissalam warahmatullah." - [HR Bukhari 5733].

Lembutnya jiwa Baginda Rasulullah yang sentiasa mengasihani ahli keluarga Baginda Rasulullah, khususnya para isteri Baginda.


5. Makan dan minum daripada pinggan serta gelas yang sama

Dari Aisyah berkata: "Tatkala saya haid, saya minum. Kemudian saya memberikannya kepada Nabi dan beliau meletakkan mulutnya di atas tempat bekas mulutku. Tatkala saya haid, saya memakan daging yang masih melekat di tulangnya, lalu saya memberikannya kepada Nabi dan Baginda pun meletakkan mulutnya di atas tempat bekas mulutku." - [HR Ahmad 24416].

Kasihnya Baginda bukan hanya dari percakapan tetapi sehinggakan perbuatan Baginda Rasulullah yang menunjukkan Baginda seorang yang sangat manja.


6. Meletakkan kepala di pangkuan isteri

Ada kalanya romantiknya Nabi sehinggakan Baginda sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya ke pangkuan isterinya seperti mana yang dipertuturkan Aisyah dalam Sahih Bukhari yang bermaksud: Nabi membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid. - [HR Bukhari 6994].

Bukan itu sahaja, Bahkan romantiknya Baginda sehingga detik-detik akhir hayat terakhir Baginda Rasulullah. Aisyah berkata yang bermaksud: Ketika maut menghampiri Rasulullah, kepala Baginda berada di atas dadaku. - [HR Bukhari 1300].

Sebagai rumusan dan pengajaran, seseorang suami perlu berusaha mendalami ilmu agama untuk menjadi ketua keluarga dihormati bagi menjalani bahtera kehidupan bersama isteri dan keluarga.

Isteri juga perlu berusaha menambahkan ilmu supaya setiap konflik rumah tangga dapat diselesaikan dengan aman dan sentosa.

Jelaslah bersikap romantik adalah sunnah Nabi. Memang, siapalah kita berbanding Rasulullah yang jauh lebih mulia dari segala manusia.

Cuma harapannya pasangan suami isteri tidak malu-malu untuk mengamalkannya. Suasana romantik bukan saja dapat memupuk ikatan cinta dan kasih sayang yang lebih intim di antara suami isteri, malah memberikan ketenangan dan belaian jiwa sepanjang usia perkahwinan.


Sumber: mStar

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati

| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-12-2024 01:27 AM GMT+8 , Processed in 0.028503 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top