Pelakon baharu, Nadhir Nasar menegur tindakan segelintir rakan seangkatannya yang gemar mengambil dua atau tiga tawaran berlakon sekali gus mengganggu kualiti kerja mereka.
Nadhir atau nama sebenarnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 25, berkata, perkara itu akan menjejaskan kerja mereka sekiranya tidak berjaya 'memisahkan' watak-watak tersebut sehingga kelihatan tidak mempunyai jiwa. "Saya tak gemar bila ada beberapa pelakon baharu yang tidak mengambil serius akan bidang lakonan dan tak beri all out bila berlakon. "Malah ada juga yang ambil dua atau tiga job sekali gus... kalau you rasa tak boleh handle, cuba fokus pada satu-satu job dahulu agar karakter dan lakonan yang dibawakan itu sampai kepada penonton.
Walaupun baharu dalam bidang lakonan, lakonan Nadhir mendapat pujian ramai pihak.
"Fame is not everything, untuk jadi pelakon yang bagus kena ada skills yang bagus," katanya ketika dihubungi mStar. Nama Nadhir mula menjadi perhatian selepas lakonannya dalam drama siri Projek: Anchor SPM mendapat pujian ramai biarpun baharu sahaja setahun terlibat dalam bidang lakonan. Pelakon yang mengagumi bakat Beto Kusyairy dan Bront Palarae ini juga berpendapat kelas lakonan yang dianjurkan aktres Nabila Huda adalah satu inisiatif bagi memberi kesedaran kepada pendatang baharu tentang realiti industri lakonan sebenarnya.
Nadhir berkata kelas sebegitu sangat penting agar pelakon generasi baharu sepertinya tidak terlalu dibuai dengan kemasyhuran dunia glamor semata-mata. "Saya tahu Nabila Huda ada buat kelas lakonan secara percuma baru-baru ini, bagi saya ia satu langkah yang bagus untuk buka minda pelakon-pelakon baharu sekarang. "Saya tahu saya pun masih setahun jagung dalam industri, tapi saya sendiri pernah berhadapan dengan pengalaman bila pelakon baru masuk set tak ready apa-apa.
"Bagi saya ilmu lakonan yang diajar pelakon senior memang sangat perlu dan berguna untuk pelakon baharu supaya mereka tahu yang berlakon ini menuntut komitmen yang tinggi, bukan sekadar nak glamor muka keluar tv sahaja," ujarnya. Graduan jurusan Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini memulakan langkahnya dalam bidang seni selepas memenangi gelaran Hero Remaja 2020. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|