Gambar dan video seekor anjing liar mati dipanah seorang lelaki di Alor Setar, Kedah menjadi viral di media sosial sekaligus menimbulkan kemarahan ramai.
Pertubuhan Pasukan Tindakan Haiwan (AAT) dalam satu kenyataan berkata, adalah tidak sewajarnya anjing-anjing liar ditangani dengan menggunakan senjata berbahaya. Pertubuhan itu dalam masa yang sama menggesa pihak berkuasa mengesan lelaki berkenaan dan mengambil tindakan di atas perbuatan kejamnya. "Isu haiwan liar yang berkeliaran harus ditangani oleh pihak berkuasa tempatan dan mengikut undang-undang yang ditetapkan," demikian menurut AAT dalam satu kenyataan. AAT juga berkata pelaku boleh didakwa di bawah Akta Senjata 1960, Akta Kebajikan Haiwan 2015 atau undang-undang lain yang bersesuaian.
Terdahulu tular gambar dan video rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV), menunjukkan seorang lelaki membunuh anjing itu dengan menggunakan busur panah. Kejadian tersebut berlaku di Lorong 3, Seberang Jalan Putra di Alor Setar, Kedah, dipercayai pada 11 Mac lalu. Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut. -CARI Sumber: mStar Online/ THE STAR
|
ADVERTISEMENT