AIZAT bakal muncul dengan album mini yang mengandungi lagu duetnya bersama Yuna, Zee Avi dan Azlan & The Typewriter. SATU demi satu kejayaan yang telah diukir oleh penyanyi muda berbakat besar Muhammad Aizat Amdan, 24 atau lebih dikenali sebagai Aizat. Dia yang mula berkarya sejak peringkat sekolah lagi telah membuat keputusan untuk tampil dalam industri hiburan tanah air secara serius setelah terpilih antara 12 peserta program realiti TV, Akademi Fantasia musim kelima.
Walaupun tidak ke peringkat final, perjalanannya tidak terhenti di situ. Malah dia berjaya membuktikan walau tidak merangkul gelaran juara, tidak bermakna karier seseorang itu akan terus menyepi. Dengan azam yang tinggi dan sering kali tampil dengan pembaharuan yang positif, dia kini berjaya membuka produksi muzik sendiri iaitu Kasi Gegar Entertainment (KGE). Tampil bersih tanpa sebarang kontroversi, Aizat telah berjaya mengorak langkah ke peringkat antarabangsa dan melukis kariernya dengan lebih yakin. Aizat yang baru sahaja pulang daripada Kansai Music Conference di Osaka, Jepun sebulan lepas begitu teruja kerana berpeluang berkongsi pentas bersama pemuzik antarabangsa yang lain. Terbaharu, dia telah dipilih menjadi duta bagi program Let's Rock Cancer Malaysia (LRCM). Dengan muzik sebagai sejuta hiburan, ia dilihat mampu menarik lebih ramai remaja untuk diberi pendedahan terhadap kesedaran penyakit kanser. Ujar Aizat, LRCM merupakan satu kempen untuk menyebarkan kesedaran tentang kanser kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada golongan muda. “Kempen ini juga menggalakkan masyarakat untuk kerap melakukan pemeriksaan kesihatan supaya dapat mengesan sebarang penyakit kanser dari peringkat awal lagi. Jika mampu mengesan kanser pada peringkat awal, mudah untuk kita menjalani pelbagai rawatan bagi menghapuskan kanser tersebut,” ujarnya yang berasa sangat bertuah dan terharu kerana diberi peluang membantu kempen tersebut. Tambah Aizat, ironinya, dia juga seorang yang suka terbabit dengan kerja amal dan memberitahu, dua tahun lalu, telah pernah terlibat dengan kempen derma darah anjuran Pusat Darah Negara (PDN). “Tawaran ini telah dibuat oleh pengasas LRCM sendiri, Mohd. Royzilee Mustaffa atau Abang Roy yang bertemu abang saya, Amar dan menyatakan hasratnya. Amar seterusnya memberitahu saya mengenai hasrat LRCM untuk menjadikan saya sebagai duta. “Memandangkan ia satu perkara positif, saya bersetuju menerima tawaran mereka. Berkaitan dengan sumbangan sebagai duta, saya akan cuba membantu sedikit sebanyak untuk menyebarkan mesej dan memberi komitmen yang baik kepada LRCM dalam menyampaikan kesedaran berkaitan kanser tersebut kepada masyarakat melalui muzik saya,” ujarnya panjang lebar. Diajak bercerita tentang pengalamannya menyertai Persidangan Muzik Kansai 2013 di Osaka, Jepun pada 18 September lalu, penyanyi tersebut memberitahu, perkara yang paling mengesankannya tentang Jepun ialah budaya dan disiplin masyarakat di negara tersebut. “Selain itu, saya juga berpeluang bertemu dengan ramai pemuzik dari Jepun sendiri, Amerika Syarikat (AS), Australia dan kami dapat berkongsi pengalaman bersama. Itu yang menarik tentang persidangan tersebut. Ia lebih bersifat menimba ilmu,” katanya. Bercakap tentang perkembangan terkininya pula, Aizat memberitahu, dia sedang menyiapkan album mini yang mengandungi tiga lagu dan dinyanyikan secara duet dengan tiga penyanyi berbeza iaitu Yuna, Azlan & The Typewriter dan Zee Avi. Album tersebut dijangka bakal dilancarkan selepas bulan Februari ataupun selepas Anugerah Juara Lagu (AJL) sekiranya dia tercalon di dalam anugerah tersebut. “Saya lihat kolaborasi dengan mereka sangat menarik dan dari situ tercetusnya idea untuk saya keluarkan album mini tersebut,” ujarnya yang turut menyatakan akan melancarkan album studio miliknya pada tahun hadapan juga. Aizat turut memberitahu, dia kini terus menanti respons positif tentang album projek bandnya iaitu Go Gerila. Katanya: “Kami baru sahaja melancarkan album Blackbox dan sekarang kami sedang sibuk untuk mempromosikan album ini. Ada masa juga kami akan meluangkan masa di studio KGE dan akan berbincang untuk mencari material muzik baharu serta segar.” Sementara itu, sewaktu ditanya tentang hubungannya bersama Zee Avi yang dikatakan bukan sekadar teman biasa, penyanyi itu hanya tertawa kecil sebelum menjawab. “Saya meminati muzik yang dibawa oleh Zee Avi. Tidak lebih daripada itu. Kami memang kawan sebab apabila dia pulang ke Malaysia, dia akan menghabiskan masanya di Ampang dan sesekali, dia akan datang ke studio saya yang juga terletak di Ampang, Selangor,” ujarnya ringkas. |
ADVERTISEMENT