Berkahwin pasangan berlainan negara semestinya berdepan dengan pelbagai cabaran memandangkan suami dan isteri mempunyai latar belakang berbeza. Pastinya aspek seperti budaya, adat resam dan bahasa pertuturan merupakan antara perkara yang menjadi cabaran utama dalam melayari bahtera perkahwinan.
Namun, itulah keunikan hubungan cinta antara dua negara, sebagaimana pasangan Malaysia-Afrika ini yang mencuri perhatian ramai gara-gara video TikTok 'cabaran' berbahasa Melayu menjadi tular sejak dua hari lalu. Gelagat Noor Habibah Hairi yang menguji suami dan anak sulungnya dengan beberapa perkataan serta ayat dalam bahasa Melayu membuat netizen kagum apabila kedua-duanya 'lulus' cabaran berkenaan. Malah, netizen juga memuji dua beranak berkenaan yang dilihat langsung tidak kekok apabila berbahasa kebangsaan.
Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Noor Habibah berkata, video itu dikongsikan di aplikasi berkenaan selepas mendapat satu pertanyaan daripada netizen mengenai sama ada dia mendapat halangan daripada keluarga apabila memilih untuk berkahwin dengan lelaki asing. "Memandangkan sekarang ni pun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ada banyak masa terluang, jadi saya pun suka-suka buat video TikTok. Tak sangka viral dan ini kali pertama video jadi begitu hit," ujar wanita berusia 35 tahun ini yang mengahwini lelaki warga Nigeria, Adam Desmond. Menurut Noor Habibah, dia sememangnya melatih keempat-empat anaknya bertutur bahasa Melayu dalam perbualan seharian."Masa mula mendapat anak pertama, ramai yang cadangkan supaya kami hantar anak ke sekolah antarabangsa. Selepas berbincang dengan suami, kami putuskan untuk hantar anak ke sekolah kebangsaan. Lagipun kita di Malaysia kan. "Anak kedua dan ketiga pun sama, kami hantar ke sekolah kebangsaan. Kami tak mahu ada jurang komunikasi antara mereka dengan orang kita. "Anak sulung berusia 13 tahun malah beritahu adik-adiknya, kenapa nak kena bazirkan duit mama dan papa untuk ke sekolah antarabangsa? Dalam usia muda, dia sendiri sudah mengerti. "Kalau bertemu dengan opah dan adik beradik di sebelah saya, saya sendiri menyuruh mereka bertutur dalam bahasa Melayu dengan anak-anak saya," ujarnya yang menetap di Seri Kembangan, Selangor. Begitu juga dengan makanan, Noor Habibah berkata anak-anaknya begitu menggemari hidangan Melayu, malah tidak kekok untuk makan makanan berasaskan durian atau tempoyak. "Jika hari Isnin hingga Jumaat saya masak makanan Melayu, pada hari minggu bapa mereka pula akan masak makanan Nigeria. Anak-anak suka dua-dua jenis makanan," ujarnya yang baru menjalankan perniagaan berasaskan makanan ringan, Chin Chin. Tidak menafikan pernah menerima kata-kata kurang enak lantaran memilih lelaki asing sebagai pasangan, Noor Habibah bagaimanapun berkata situasi itu semakin kurang dirasai pada ketika ini disebabkan ramai yang sudah berfikiran terbuka. "Awal-awal tu biasa dah. Tapi sekarang ni mungkin dah ramai yang berfikiran terbuka. Contohnya apabila kami menerima komen-komen positif daripada netizen mengenai video yang viral baru-baru ni. "Saya tunjukkan komen-komen tu kepada anak dan suami... mereka gembira sangat sampai siap ajak buat video lagi," ujarnya.
|
MissVixen replied at 20-1-2021 12:34 PM
Orang kulit hitam ni, kahwin la dengan korea, melayu, kokesen, jepun... Semua anak2 akan ikut genes ...
shop_girl replied at 19-1-2021 09:55 PM
Aku suka je tengok kahwin campur yg proper dan aman bahagia camni..semoga Allah rahmati kalian sekel ...
ifanonline replied at 20-1-2021 05:18 AM
andartu taknak kawin org negro?
MissVixen: Orang kulit hitam ni, kahwin la dengan korea, melayu, kokesen, jepun... Semua anak2 akan ikut genes dia.
ADVERTISEMENT