WALAUPUN boleh dikelaskan sebagai hero ‘tua’, namun Micheal Douglas masih lagi merupakan aset yang sangat bernilai bagi Amerika Syarikat (AS). Pada 2010, aktor berumur 69 tahun itu berjaya menerima penghargaan sebagai Anugerah Ikon dalam Palm Spring International Film Festival berikutan penglibatannya selama lima dekad dalam dunia perfileman Hollywood. Splash News turut melaporkan, anugerah berkenaan hanya diberikan kepada penggiat seni filem yang banyak memberi sumbangan kepada industri perfileman Inggeris. “Kami sangat bangga memberikan penghargaan ini kepada Douglas kerana kreativiti dan sumbangannya dalam dunia perfileman yang tidak boleh dipertikaikan,” kata Darryl MacDonald, yang juga pengarah festival itu. Penghargaan itu bagaimanapun bukanlah petanda berakhirnya perjuangan Douglas dalam industri ini walaupun dia telah disahkan menghidap kanser kerongkong pada tahun itu. Malah, anak kepada pelakon Kirk Douglas itu dilihat masih bersemangat untuk terus berkecimpung dalam dunia lakonan melalui kemunculan semulanya pada tahun itu menerusi filem Wall Street: Money Never Sleeps arahan Oliver Stone. Lanjutan dari filem Wall Street yang diterbitkan 23 tahun lalu, Douglas kembali membawa watak pakar pelaburan, Gordon Gekko yang terkenal dengan ayat ‘tamak itu bagus’ di samping Josh Brolin dan aktor kian meningkat naik, Shia LaBeouf. Kehebatan aktor itu berlakon tidak dapat disangkal apatah lagi apabila filem Wall Street: Money Never Sleeps berjaya melonjak ke tangga teratas carta box-office pada minggu pertama tayangannya di AS dengan kutipan tiket berjumlah AS$19 juta (RM60.8 juta). Jika melalui filem Wall Street, Douglas mencipta kejayaan dengan memenangi trofi Oskar bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada 1987, filem sekuel ini turut mencalonkannya bagi kategori Aktor Pembantu Terbaik untuk Anugerah Golden Globes. Bagaimanapun, dia kurang bernasib baik kerana tewas kepada Christian Bale yang berlakon dalam filem The Fighter. “Tentu ada cara yang lebih mudah untuk mendapatkan tepukan gemuruh berbanding mendapat kanser,” katanya. Selain itu, bekas suami Catherine Zeta Jones ini juga pernah memenangi pelbagai anugerah melalui lakonan hebatnya dalam pelbagai filem seperti Romancing The Stone (1984), The War Of The Roses (1989), Black Rain (1989), Basic Instinct (1992), Falling Down (1993), The American President (1995), The Ghost and the Darkness (1996) dan The Game (1997). Tuah watak Liberace Watak flamboyan pemain piano tersohor, Liberace yang dipegang oleh Douglas menerusi filem Behind The Candelabra’s (2013) membawa tuah kepada aktor berkenaan apabila dinobatkan sebagai Aktor Terbaik Minisiri atau Drama di Anugerah Emmy ke-65. Douglas turut menujukan kejayaannya itu kepada seorang lagi pelakon drama itu iaitu Matt Damon yang turut tercalon dalam kategori serupa. Lebih menggembirakan lagi apabila drama terbitan produksi HBO itu turut membawa pulang anugerah Minisiri atau Drama Terbaik. Filem Behind The Candelabra adalah kisah benar mengenai kehidupan pemain seorang pemain piano terkenal, Liberace (Michael Douglas) yang berasal dari Paman Sam, Valentino. Bagaimanapun, filem ini lebih berfokus pada hubungan asmara sesama jenis dengan pembantunya Scott Thorson yang dilakonkan oleh Matt Damon. Adegan ‘panas’ di antara Douglas dan Damon seterusnya menjadi tunjang utama filem ini apabila kedua-duanya dilihat serasi memainkan watak ini. “Dalam cerita ini, peranan saya lebih kepada perempuan! Rambut dan mekap untuk watak Liberace mengambil masa selama dua jam setengah lamanya. “Bagi babak cinta, saya dan Damon tidak mengadakan sebarang latihan langsung. Kami hanya berpandukan pada skrip semata-mata,” katanya. Las Vegas taruhan terbaru Terbaru, Douglas bakal muncul dalam Las Vegas bersama aktor hebat lain Robert De Niro, Morgan Freeman dan Kevin Kline yang akan menjengah pawagam 31 Oktober nanti. Filem komedi arahan Jon Turteltaub ini mengisahkan empat sahabat baik yang berumur 60-an dan membuat keputusan melarikan diri dari tempoh persaraan. Mereka lari ke Las Vegas untuk meraikan rakan mereka yang masih belum berkahwin. Douglas berkata, keempat-empat mereka mempunyai hubungan persahabatan yang telah lama dicipta. “Kami semua kawan-kawan lama dan di satukan melalui filem ini,” katanya.
|
ADVERTISEMENT