Kegigihan seorang guru untuk mengendalikan kelas bagi subjek Seni Reka Tanda (MSV) secara online sia-sia apabila kesemua pelajarnya tidak munculkan diri pada masa yang ditetapkan. Kisah sedih menimpa Mustakim Bajoori, 54, yang mengajar di sebuah sekolah menengah dekat Kuala Selangor selama 32 tahun dikongsi anaknya, Nur Nuha Narisya di Twitter sehingga menjadi tular.
Menurut Nuha, keadaan itu berlaku sejak sesi pembelajaran secara online dilaksanakan pada pertengahan Oktober lalu dan berlarutan sehingga hari ini. “Sebenarnya, dari start Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor pada pertengahan Oktober lalu lagi dah jadi macam ni. Kadang pernah ada seorang je, paling ramai pun satu hari tu lima orang daripada 18 pelajar. Kesemuanya pelajar tingkatan lima. “Masa tu tengok abi masih boleh gelak-gelak lagi sebab kaedah tu masih baru. Dia pun macam OK lagi. Tapi hari demi hari makin lama saya nampaklah perubahan kat muka dia. Pagi Rabu lepas pun abi tunggu punya tunggu dari pukul 8.30 pagi sampai 9 lebih pun tak ada siapa masuk lagi.
“Tengok je muka abi saya pun sedih. Dia siap call student dia seorang demi seorang, tu pun diaorang tak angkat. Ada juga yang matikan phone, lepas tu ada yang kata diaorang kerja sebab tu tak boleh masuk kelas," katanya kepada mStar. Simpati dengan bapanya, Nur Nuha Narisya atau mesra disapa Nuha bertindak menyertai kelas tersebut pada pagi Rabu lalu. “Ayah akan buat Zoom dekat ruang tamu. Setiap kali tu dia akan link dekat skrin TV. Bila dia pandang laptop kami boleh nampaklah muka dia kat TV. Bila tak ada orang masuk, dia tunggu tenung je laptop tu, menitik jugalah air mata saya. “Tapi ayah tetap berprasangka baik pada student dia. Dia cakap mungkin link yang saya buat tu salah sebab tu student dia tak boleh masuk. Jadi saya pun try masuk... memang dapat. Bila dah join class tu nampaklah abi gelak sikit. “Mak pun cikgu, dia ajar Form 6 tapi semua student dia join class. Mungkin sebab mak garang kot. Abi dulu pun garang, sampai dengar tapak kaki dia pun student dah takut. Bila dah meningkat usia ni dia dah berubah,” katanya. Jelas gadis berusia 20 tahun itu, dia berkongsi perkara tersebut di Twitter sekadar ingin meluahkan perasaan sedih seorang anak terhadap bapanya. “Waktu tu saya terlalu emotional sebab terlampau sedih. Abi punyalah excited belajar cara-cara nak guna Zoom dan Google Meet tapi lain pula jadinya. Di mana rasa hormat pelajar kepada gurunya? “Saya hanya meluahkan apa yang saya rasa sebab tak sanggup lihat abi diperlakukan sebegitu, tak sangka pula tiba-tiba viral," katanya. Namun Nuha berkata dia terkejut dengan respons netizen dan pelajar bapanya sejurus kisah tersebut tular di media sosial. “Semalam Abi drive sambil nangis sebab terharu sangat-sangat. Satu Malaysia mendoakan dia. Dia ada cakap tadi dia dah tak semangat nak mengajar dan sampai satu tahap nak pencen dah. “Tapi bila abi baca komen-komen netizen dia kembali kuat dan bersemangat. Lebih mengejutkan murid-murid yang tak pernah tunjuk muka tu pun tiba-tiba WhatsApp abi minta maaf. “Mereka janji nak join class nanti, tu yang abi nangis. Mungkin pelajar tu terkesan bila baca kisah sedih yang saya tulis tu," katanya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT