Penyanyi dan pelakon, Aiman Tino pernah dikaitkan dengan kontroversi video lucah yang memaparkan si pelaku yang didakwa mirip wajahnya, tahun lalu.
Pantas tersebar dalam laman sosial, videp 'panas' itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat penyanyi lagu Ku Rela Dibenci ini. Namun, sebaik berita tersebar, Aiman pantas menafikan dia adalah individu dalam rakaman video terbabit. Aiman atau nama sebenar, Muhammad Aiman Yusri, 22, meminta semua pihak tidak memanjangkan isu video panas itu dan memohon maaf kepada semua pihak, terutama kepada media dan peminat. Merenung kembali, kontroversi itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada dirinya termasuk kerjaya seni biarpun insiden seumpama dianggap lumrah industri hiburan.
Namun, apabila peminat memilih dirinya sebagai pemenang kategori online, Artis Kontroversi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, Aiman tidak menganggap ia sebagai suatu perkara negatif. Aiman mengaku gembira dan menghargai anugerah yang diberi, malah menyifatkan kemenangan itu sebagai tanda sokongan peminat. "ABPBH adalah anugerah yang besar dan pencalonan ini adalah daripada media, iaitu BH. Jadi dicalonkan dalam kategori ini bukanlah suatu perkara yang negatif. "Tidak salah kalau saya dianugerahkan Artis Kontroversi Popular ABPBH 33. Lagipun, peminat saya yang banyak mengundi menerusi kategori ini," katanya kepada BH Online.
Aiman kagum melihat kesungguhan peminat mengundi sehingga dia muncul pemenang. "Saya tahu diri ini dicalonkan daripada peminat. Alhamdulillah, mereka sangat menyokong saya. "Hasil kerja keras Aiman Tino Fantastic mengundilah membuatkan saya berjaya mengalahkan calon lain. "Kalau saya hampa dengan anugerah ini, bermakna saya tidak menghargai usaha mereka," katanya sambil menambah ahli keluarga juga tidak terkecuali mengundi untuknya.
Aiman menyifatkan kemenangan di ABPBH 33 sebagai kenangan manis baginya. "Selama lebih empat tahun dalam industri, saya tak pernah mendapat anugerah. "Saya tidak pernah terfikir untuk menggenggam trofi ABPBH, Alhamdullillah tahun ini saya dapat. Berkongsi mengenai perkembangan seni , Aiman sedang menyiapkan dua single yang akan dilancarkan, bulan depan.
"Single ini adalah hasil ciptaan Ikhwan Fatanna. Insya-Allah peminat akan dapat mendengar genre berbeza daripada apa yang pernah dihasilkan dahulu," katanya. Pada masa sama, Aiman baru melangsaikan penggambaran untuk siri fiksyen, Felora Azania. Ditanya apakah dia mahu menjadi artis versatil, Aiman tidak menafikannya.
"Ketika pandemik ini, kita sukar membuat persembahan melainkan dalam talian. "Jadi, berlakon adalah cara saya mengisi masa. Saya juga minat berlakon, jadi, tidak salah mencuba," katanya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|