Raja Pop kini bergelar Datuk
Kuantan: Raja Pop negara Jamal Abdillah dan penyanyi Indonesia Sri Rossa Roslaini Handiyani atau lebih dikenali sebagai Rossa antara 643 penerima pingat darjah kebesaran sempena Majlis Keputeraan ke-83 Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan, hari ini. Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali dan Rossa menerima Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk bersama 90 individu lain. Adinda Sultan Pahang Tengku Datuk Idris Sultan Abu Bakar mengetuai senarai penerima pingat Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri. Selain itu, empat menteri menerima darjah kebesaran SSAP Menteri di Jabatan Perdana iaitu Menteri Tan Sri Joseph Kurup, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek dan Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot.
Turut menerima SSAP, Hakim Mahkamah Persekutuan Datin Paduka Zaleha Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Adnan Md Ikshan, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Alias Ahmad, Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan dan Pengarah Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA) Datuk Shahril Mokhtar. Bagi Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk, lima penerima iaitu Pengarah Kerja Raya Pahang Datuk Rosman Yahya, Pengarah Pembangunan Pahang Datuk Dzulkifly Osman, Pengurus Besar Bursa Malaysia Berhad Datuk Tajuddin Atan, Ketua Pusat Jantung dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Mohd Ramzisham Abdul Rahman dan Pengerusi Universiti Kuala Lumpur Datuk Dr Adham Baba. Seramai 13 penerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang juga membawa gelaran Datuk, antaranya Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib, Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail, Ketua Pengarah Arkib Negara Daresah Ismail, Penasihat Pertahanan Negara Mejar Jeneral Datuk Mohd Razif Idris, Timbalan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta JPM Tan Yew Chong, Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Dr Norhizan Ismail, Pengurus Besar Kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Suhaimi Ali Hanafiah, Naib Presiden Telekom Malaysia Mohd Rais Azhar dan Presiden SIRIM Berhad Zainal Abidin Mohd Yusof. Sementara itu, 90 lagi dianugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk termasuk dua Exco Kerajaan Negeri iaitu Norol Azali Sulaiman dan Syed Ibrahim Syed Ahmad dan dua pengamal media iaitu Mohd Hassan Mohammed Noor (Pengarang Utusan Malaysia) dan Baharom Mahusin (Pengarang Kosmo).
|
ADVERTISEMENT