KISAH perkahwinan golongan selebriti sememangnya sering menjadi perhatian, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di negara barat. Namun, tidak semua selebriti memilih untuk berkongsi hari bahagianya dengan peminat dan media, sebaliknya lebih selesa mengadakan perkahwinan secara tertutup dan majlis hanya dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja. Antara artis Hollywood yang memilih untuk merahsiakan majlis perkahwinan atau mengadakan secara tertutup adalah Justin Timberlake-Jessica Biel, Blake Lively-Ryan Reynolds, Adele, Kate Winslet-Ned RocknRoll, dan ramai lagi. Manakala artis tempatan yang memilih untuk merahsiakan perkahwinan mereka adalah Ashraf Muslim (perkahwinan kedua), Abby Abadi (perkahwinan kedua) Bront Palarae dan terbaru, Wawa Zainal dan Aeril Zafril. Ada antara selebriti berpendapat, soal perkahwinan adalah hal peribadi yang perlu dirahsiakan tetapi ada pula berpendapat, artis adalah hak milik masyarakat, maka segala perkara perlu dikongsi bersama. Justeru Zass mengambil pandangan beberapa selebriti mengenai isu yang diperkatakan mari kita lihat apa kata mereka. "Saya rasa tiada sebab untuk seseorang itu menyembunyikan perkahwinan mereka, mungkin ada sebab tertentu setiap pasangan melakukan sedemikian. Siapa yang tidak inginkan perkahwinan yang berlangsung secara meriah. Tapi dalam hal ini jika perkahwinan itu sah dari segi agama Islam kenapa perlu takut. Saya tidak rasa selebriti tersebut gembira dengan apa yang dilakukan mereka tapi sebagai insan biasa kita hanya perlu mendoakan yang terbaik untuk mereka." - Jehan Miskin "Semua orang mempunyai alasan tersendiri tidak tahu sebab berlakunya perkara sedemikian, mungkin halangan dari keluarga atau kehendak individu itu sendiri. Tetapi dari segi moral sebenarnya jangan sembunyikan perkara yang baik, walaupun pelbagai alasan yang diberikan lambat laun akan diketahui juga. Bila kita sembunyikan perkara sebegini ini akan menjadi satu penipuan banyak pihak akan sakit hati, jangan jadikan perkara ini khuatir pasal populariti berkurangan rasanya tidak sesuai, kerana apa yang boleh saya kongsi apabila berkahwin ALLAH SWT akan murahkan rezeki seseorang itu." - Kamal Adli "Pada pendapat saya, mungkin ada alasan atas sebab apa pasangan tersebut melakukan begitu, bagi saya ia terpulang kepada individu tersebut untuk memberitahu apa tidak, mungkin itu adalah rahsia peribadi mereka yang tidak boleh dikongsi bersama peminat. Dalam perkara ini juga kita perlu pandang pada sudut positif asalkan mereka telah bernikah dengan cara yang baik. ikut pada agama hindari dari berlakunya maksiat." - Bienda "Setiap pasangan pastinya menginginkan kehidupan bahagia dengan mendirikan rumah tangga begitu juga bagi selebriti, mungkin apa yang kita dapat lihat pasangan yang cuba sembunyikan tersebut mereka mempunyai alasan tersendiri melakukan sedemikian, bukan bermaksud untuk melukakan hati sesiapa tapi mungkin itu adalah soal peribadi mereka. Bagi saya kita hanya insan biasa jangan mudah melontarkan kritikan kepada mereka tanpa mengetahui perkara yang sebenar." - Raja Farah "Pada pandangan saya dalam Islam sebuah perkahwinan itu sepatutnya di uar-uarkan. Tujuan majlis kenduri adalah supaya belum menimbulkan fitnah, akan tetapi sembunyikan perkahwinan boleh dilakukan asalkan mempunyai alasan yang sewajarnya. Tapi apa yang boleh saya kongsian perkara tersebut sepatutnya tidak patut berlaku, tambahan pula selebriti sering menjadi perhatian masyarakat mahupun peminat." - Fizo Omar "Kita tidak tahu alasan kenapa mereka melakukan begitu, kita juga tidak perlu tahu kenapa pasangan tersebut melakukan sedemikian. Saya akui, sepatutnya perlu diberitahu kepada umum atas sebab mengelakkan fitnah. Tapi ia bergantung kepada hak masing-masing yang penting pasangan ini tidak melakukan kesalahan yang berlandaskan hukum Islam." - Siti Nordiana
|
ADVERTISEMENT