Bakal isteri berasal dari Keningau, Sabah mahu berhenti kerja, bantu urus kerjaya seni Bakal mengakhiri zaman bujang, Mac depan, juara Akademi Fantasia musim pertama (AF1), Vincent Chong, 34, atau Vince akan mengadakan majlis perkahwinan secara tertutup di Tanah Rimba, Janda Baik, Pahang. Berbaki enam bulan lagi sebelum bergelar suami, Vince bagaikan tidak sabar untuk disatukan bersama tunangnya, Fiona Edward, 32, yang berasal dari Keningau, Sabah. Bagi saya, seorang isteri perlu mempunyai hubungan rapat dengan keluarga termasuk mentua. Sifat itu ada dalam diri Fiona” Vincent Chong, Penyanyi Vince memberitahu, bakal isterinya itu akan berhenti tugas sebagai pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) dan membantu mengurus kerjaya seninya selepas berkahwin. Lebih selesa apabila bakal isteri menguruskan kerjaya, Vince mahu individu yang boleh dipercayai mengendalikan karier seninya. “Tunang saya peramah dan pandai menjaga saya. Dia juga rapat dengan keluarga saya. Bagi saya, seorang isteri perlu mempunyai hubungan rapat dengan keluarga termasuk mentua. Sifat itu ada dalam diri Fiona. Dia juga senang bersama keluarga saya. Disebabkan itulah saya terpikat. Apatah lagi dia teman rapat saya. Fiona bukan peminat dan menerima saya bukan kerana saya artis,” katanya. Majlis resepsi Mengenai majlis perkahwinan, Vince mengidamkan resepsi bertemakan taman seperti dalam filem box office, Twilight Saga. “Lokasi majlis perkahwinan adalah pilihan saya sendiri. Apatah lagi tunang saya berasal dari kampung di Sabah. Kami mahukan sesuatu yang bertemakan alam semula jadi. Seperti biasa, persiapan sudah siap hampir 60 peratus dan semestinya kami kadang kala bergaduh kecil untuk membuat keputusan,” katanya. Vince berkata, majlis resepsi itu bagaimanapun diadakan secara kecil-kecilan dengan hanya 150 tetamu dijemput. “Majlis di belah pihak perempuan akan diadakan di Keningau selepas Mac depan. Namun, kami belum menetapkan tarikhnya. Di Keningau, kami akan adakan majlis yang lebih bersifat tradisi. Saya mungkin akan memakai persalinan tradisional Sabah,” katanya yang ditemui di Lord’s Tailor di pusat beli belah Bangsar, baru-baru ini. Badan susut 15 kilogram Vince baru saja mengedarkan single terbaru berjudul Hanya Kau yang ditujukan khas buat bakal isterinya. Dua tahun tidak berkarya selepas single terakhir, Biarkan, Vince kembali membawakan genre balada yang sesuai dengan dirinya. “Video muziknya single Hanya Kau sudah disiarkan di YouTube, September lalu. Video itu disunting saya sendiri manakala lirik lagu ditulis oleh Ali Aiman. Susunan muzik pula dilakukan Stephanie Tam. Mereka adalah graduan Universiti Berkelee. Saya gembira dapat bekerja dengan bakat baru yang segar,” katanya. Vince berkata, maklum balas peminat terhadap single itu cukup baik. “Saya mahu terus menyanyi lagu balada. Dengan keadaan industri sekarang, saya tak fikir ia suatu risiko. Ini kerana kalau kita lakukan dengan hati yang ikhlas, kita jadi puas dan dapat memberi yang terbaik. “Pada zaman sekarang, album sudah tidak laku. Jadi, lebih baik saya mengeluarkan single manakala media sosial memainkan peranan penting dalam mempromosikan karya saya,” katanya yang sedang menurunkan berat badan untuk menempuh hari istimewa. Mengulas mengenai tubuhnya yang makin susut, Vince bersyukur tunangnya menyokong dia menjaga pemakanan. Hingga sekarang, hampir 15 kilogram berjaya dikurangkan. Selain bergelar penyanyi, Vince turut aktif di sebalik tabir sebagai pengarah kreatif. Salah satu filem yang ditulisnya sedang diteliti sebuah syarikat produksi di Hong Kong. Manakala sebuah filem lagi akan memulakan kerja pra-produksi, awal tahun depan.
|
selendangungu posted on 18-10-2013 10:09 AM
xkuar gambar la...nak tgk gak rupa tunangnya yang diperkatakan itu..
ADVERTISEMENT