Pernahkah anda mendengar tentang legenda sebuah tasik yang terkenal di Rusia? Tasik yang digelar penduduk tempatan sebagai tidak berdasar atau bottomless, dikenali sebagai Tasik Tserik-Kel. Terletak 40 kilometer dari bandar Nalchik yang juga ibu kota Republik Kabardino-Balkar di Rusia, lokasi tasik Tserik-Kel sangat tersembunyi di kawasan pergunungan Caucasus. Memetik sumber Russia Beyond, tidak pernah ada penduduk yang memancing ataupun menyelam di tasik itu. Ini kerana kepekatan hidrogen sulfida yang sangat tinggi dalam air di tasik itu. Ia juga membuatkannnya bukan habitat sesuai untuk hidupan laut melainkan udang jenis crayfish gammarus ataupun tumbuhan algae. Hidupan yang lain pasti akan mati kalau membiak di tasik ini. Tasik Tserik-Kel digelar sebagai Lower Blue atau dalam bahasa Rusia, Nizhneye Golubeye. Tasik ini merupakan satu daripada lima tasik di Republik Kabardino-Balkar yang terhasil akibat runtuhan gua batu kapur ribuan tahun dahulu.
Digelar sebagai Tserik-Kel yang juga boleh bermaksud sebagai tasik yang busuk, tasik ini tidaklah besar mana dengan ukuran 235 x 130 meter, tetapi dunia bawah airnya yang menarik perhatian. Tasik ini dikatakan tasik terdalam daripada lima tasik hasil runtuhan batu kapur di republik ini dan juga antara 10 tasik yang terdalam di Rusia. Pada 2016, satu ekspedisi sains dijalankan di sini dan pengkaji mampu menyelam sehingga rekod kedalaman 279 meter. Keseluruhannya, 400 percubaan menyelam telah dilakukan. Saintis percaya bahawa gua yang berada di dalam tasik ini mampu untuk pergi lebih dalam berbanding 279 meter yang direkodkan. Tapi, semakin dalam menyelam, pengllihatan mereka semakin kabur dan difahamkan kajian ini terpaksa ditinggalkan untuk diteruskan pada masa depan. Sebuah model 3D untuk tasik ini telah dihasilkan berdasarkan kepada hasil kajian itu. Saintis juga percaya yang tasik ini berusia lebih kurang 10,000 tahun. Menurut kajian, suhu adalah konsisten di tasik ini disebabkan air yang berterusan datang daripada bahagian dasar tidak mempunyai masa yang cukup untuk menjadi panas semasa iklim musim panas, ataupun menjadi sejuk semasa iklim musim sejuk. Pada 2012, penyelam Martin Robson bersama pasukannya cuba untuk menyelam di tasik ini. Malangnya, penyelam Rusia yang juga salah seorang daripada ahli pasukan, Andrei Rodionov terkorban ketika menyelam. Martin pula dikejarkan ke unit rawatan rapi apabila diserang penyakit decompression sickness, yang terjadi apabila nitrogen larut dalam darah dan tisu melalui tekanan yang tinggi. Martin terpaksa bertarung nyawa selama 11 hari di salah satu hospital di Sochi, dan berjaya diselamatkan. Menurut rekod, beliau berjaya menyelam di tasik ini sedalam 209 meter. Mungkin legenda yang paling popular di tasik ini adalah mengenai kewujudan naga. Diceritakan yang seekor naga ditumpaskan di tasik ini oleh seorang hero tempatan menggunakan anak panah. Naga itu jatuh ke dalam tasik dan air mata kesakitannya membanjiri kawasan ini, lalu membentuk sebuah tasik. Ada yang berjenaka bahawa naga itu masih hidup dan tinggal di dalam tasik berkenaan, menghalang saintis untuk membuat penyelidikan. Mungkin ada cerita lain di sebalik tasik itu? Mungkinkah ada sesuatu yang membuatkan tasik itu paling berharga bagi penduduk tempatan di situ? - CARI
|
uda replied at 17-2-2020 12:09 PM
Tak boleh ke mereka masukkan remote camera kedalam tasik tu untuk tenguk apa yang ada dalam tu.
ADVERTISEMENT