“Tahap penguasaan Bahasa Melayu pun masih rendah dalam kalangan sebahagian pelajar terutama di luar bandar, apatah lagi tahap pencapaian Bahasa Inggeris mereka."
Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman berkata demikian ketika mengulas mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Memetik Berita Harian, A Aziz berkata, kesilapan lama bakal berulang sekiranya kerajaan kembali melaksanakannya dalam kalangan murid dan pelajar di Malaysia. Jelasnya, kemerosotan pencapaian dalam kedua-dua subjek penting itu adalah bukti ia membawa kesan negatif dalam pembelajaran pada kali pertama ia dilaksanakan. “Ilmu sepatutnya disampaikan dalam bahasa kebangsaan tetapi tentulah dengan tidak menolak kepentingan bahasa komunikasi antarabangsa.
“Para ilmuwan dan pakar pendidikan digesa untuk memandu kerajaan dalam membina sistem dan dasar pendidikan yang komprehensif dan menuju kemajuan masa hadapan yang lebih cemerlang. “Dalam senario masa kini, kita lebih perlu melihat semula seluruh kurikulum pendidikan kebangsaan demi mencapai matlamat perpaduan bangsa Malaysia yang kian retak dan jati diri negara yang semakin luntur,” katanya. Tegurnya, kerajaan tidak perlu mengambil keputusan semata-mata kerana mahukan penguasaan bahasa Inggeris tetapi tidak mengambil kira aspek pedagogi atau sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang betul. Bagaimanapun, ia tidak bermakna rakyat tidak perlu mempelajari atau menguasai beberapa bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris. “Penarikan balik dasar sebelum ini oleh kerajaan sendiri sudah cukup memberikan pedoman yang berfaedah dan kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya. - CARI
|
ADVERTISEMENT