PERJALANAN seni pelantun Kisah Hati ini bukanlah seindah yang disangka. Sejak awal penglibatannya, Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 32, mencetuskan kontroversi apabila menukarkan imejnya dari seorang 'wanita ayu' kepada imej gothic yang tak ubah seperti Lady Gaga.
Tidak cukup dengan itu, kisahnya yang sering bertukar pengurus dan pembantu peribadi turut mencalar imejnya.Paling ketara, apabila kisah cintanya bersama komposer tersohor, Datuk Ramli MS, mula mendapat perhatian media dan telah mengatasi karier seninya. Bukan saja pernah dikatakan berkahwin secara rahsia dengan duda anak dua itu, Alyah juga dikatakan sanggup memboikot media hanya kerana tidak puas hati dengan pihak media yang menyebarkan berita tentang hasratnya ingin berkahwin dengan bekas pengetua Akademi Fantasia (AF) itu. Bagaimanapun itu kisah dulu! Bagi penyanyi yang juga popular dengan lagu Kau Yang Terindah ini, keutamaannya kini terhadap karier seni. Enggan lagi membicarakan soal cinta mahupun jodoh, Alyah bagaimanapun tidak menafikan hasratnya yang ingin berumah tangga seperti orang lain. “Saya tak mahu lagi ulas tentang soal kahwin. Kalau ada jodoh saya memang nak kahwin,” tegas Alyah yang enggan lagi dikaitkan dengan Ramli MS. Jadi Komposer Muncul sebagai komposer sekali gus mengubah tanggapan negatif bahawa penyanyi ini menyepi seketika dari dunia hiburan. Malah ia merupakan percaturan baru Alyah untuk terus berada dalam industri. “Saya tidak menyepi dari dunia hiburan, Insya-ALLAH, selepas ini saya akan belajar untuk mencipta lagu dengan baik,” katanya selepas pelancaran single kumpulan baru, Tiga di Hard Rock Café baru-baru ini. Mempertaruh lagu 'Pengakuan', Alyah berkata, dia sangat bangga dapat bekerjasama dengan kumpulan Tiga yang diterajui tiga anak muda berbakat besar, Arween (Mohd Khairul Iqhssan,28) Alfie (Syed Alfrizal, 26) dan Maya (Maya Hariyanto, 21). "Walaupun dah lama lagu ini terperap, namun dengan nafas baru, saya bersyukur lagu itu sesuai dengan mereka dan sesuai dengan aliran muzik terkini. “Pada mulanya saya tak rasa lagu ini boleh disuntik kembali dengan mode yang lebih segar, kerana lagu ‘Pengakuan’ yang saya cipta lebih kepada genre ‘pop balad’. "Namun, bila dinyanyikan secara harmoni melalui kombinasi empat suara ini maka terciptalah nafas baru bagi lagu ini,” katanya yang bersedia untuk berduet dengan kumpulan itu. Sebalik ‘Pengakuan’ Berkongsi kisah di sebalik penghasilan lagu tersebut, kata Alyah, lagu tersebut diilhamkan sekitar 2005 dan ketika itu dia dan Alfie (salah seorang anggota Tiga) pernah merancang untuk menubuhkan sebuah kumpulan muzik. "Selain Alfie, ada dua lagi ahli kumpulan dari Indonesia, menyertai pertandingan Gangstarz di TV3. Tapi nak dijadikan cerita, hasrat kami tak kesampaian apabila saya seorang saja yang berjaya mara dalam pertandingan itu. “Ketika itu, saya diserap untuk menyertai One Nation Emcees yang turut bersaing dalam pertandingan itu,” katanya yang telah lama mengenali Alfie. Kata Alyah, selepas itu dia mula berjinak-jinak dalam dunia penciptaan lagu dan tidak menyangka Alfie datang bertemunya untuk mencipta lagu buat mereka. “Saya masih baru dalam bidang ini dan lagu ini adalah percubaan pertama saya. Ia mungkin tidak sempurna atau sehebat mana, namun ia memberi makna sangat mendalam kepada saya. "Insya-ALLAH saya akan cuba menghasilkan lagu lebih baik selepas ini,” kata Alyah yang pernah popular dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang. Turut memuji bakat dan usaha kumpulan Tiga, Alyah berkata, dia yakin kumpulan itu mampu pergi lebih jauh. “Melihat semangat mereka, saya yakin mereka bukan saja akan memeriahkan industri muzik tanah air, tetapi juga akan membawa kelainan buat peminat,” katanya yang turut yakin lagu 'Pengakuan' itu akan membawa tuah buat kumpulan ini. Kaji fesyen tudung Ramai dalam kalangan selebriti tempatan mula mencebur diri dalam pelbagai bidang perniagaan. Tidak terkecuali, Alyah yang kini bergelar usahawan dan telah memperkenal jenama pakaian dan ‘turbannya' sendiri iaitu, Gaya Elliya. Pada masa sama, Alyah kini sedang menyiapkan rekaan beberapa turbannya sekali gus ingin merancang meluaskan pasaran perniagaannya ke beberapa tempat sekitar ibu kota. “Saya suka fesyen tudung ‘turban’, kerana mudah dipakai. Sekarang, saya sedang buat rekaan ‘turban’ yang lebih senang untuk disauk dan tidak mengambil masa bagi sesetengah wanita di luar sana untuk mencuba gaya yang menawan tanpa ambil masa lama atau rumit memakainya. “Saya banyak buat kajian dan fikir fesyen bertudung yang sesuai untuk dipakai oleh saya sendiri dan untuk orang ramai,” katanya.
|
ADVERTISEMENT