SETIAP ikatan perkahwinan semestinya mendambakan kehadiran cahaya mata sebagai pengikat kasih dan penyeri keluarga. Bersyukur di atas kurniaan ALLAH SWT dalam masa yang terdekat ini, pelakon cantik, Linda Hashim, berharap diberikan kesihatan yang baik untuk diri dan kandungannya. Tidak pernah berbincang mengenai jantina anak, baik Linda mahupun Beego, mereka menerima apa jua ketentuan dengan tangan yang terbuka. "Sebenarnya, saya dan Beego tak pernah memilih untuk jantina anak. Lelaki atau perempuan, saya tak kisah. "Selalunya, kelahiran pertama, orang tak kisah sangat. Yang penting, proses kelahiran berjalan lancar dan bayi sihat. "Di trimester pertama, saya dinasihatkan supaya tidak melakukan kerja berat dan menjaga kesihatan agar tidak memudaratkan kandungan," katanya yang bakal menyambut kelahiran pada April tahun depan. Tambah Linda, suaminya, Beego lebih teruja berbanding dirinya apabila mendapat tahu berita ini. Beego jadi 'Mr. Mama' Walaupun tidak mengalami alahan teruk, akui Linda, di usia kandungan dua bulan lebih itu, dia turut mengalami rasa loya dan pening kepala. Katanya, pada awal-awal kehamilan, dia sering tidak sihat dan demam. "Semasa saya demam, Beego yang banyak membantu. Dia uruskan kerja rumah dan masak bubur untuk saya. "Sebelum ini, saya tak pernah lihat dan jangka dia akan membantu saya sampai ke tahap itu. "Dia sangat mengambil berat mengenai saya dan setiap kali pergi kerja, dia akan bekalkan saya dengan makanan dan buah-buahan," katanya yang kini masih menjalani penggambaran drama 26 episod, Pulang Sayang, untuk RTM. Selain itu, Linda bakal muncul dalam drama istimewa sempena Aidiladha, Bunga Larangan di TV Al Hijrah dan Mencintaimu di TV2.
|
ADVERTISEMENT