Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera akibat disimbah air panas dalam 'Cabaran Air Panas' yang kembali tular. Menurut laporan Kentucky Herald Leader, dalam kejadian 2.30 pagi Selasa itu, Billy Oliver dikatakan sedang tidur di rumah rakannya di Manchester, Kentucky apabila dia disimbah dengan air panas. Berikutan kejadian, mangsa mengalami cedera di leher, belakang tubuh dan bahagian atas lengan. Dalam sebuah entri di Facebook ibunya, Patricia Oliver mendakwa Billy yang sedang tidur terkejut apabila disimbah rakannya dengan air panas. "Dia (rakan Billy) hanya mentertawakannya yang kesakitan dan bergelut menanggalkan bajunya," tulisnya yang memberi peringatan kepada orang ramai mengenai bahaya cabaran itu.
Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kesihatan Cincinnati untuk mendapatkan rawatan. Cabaran berbahaya 'Hot Water Challenge' yang melibatkan aksi meminum atau menyimbah air panas ke tubuh sendiri mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa. Sementara itu, ibu kepada rakan Billy ditahan polis susulan gagal mendapatkan bantuan kecemasan untuk mangsa. Wanita berusia 42 tahun itu dilaporkan menyerah diri di balai pada tengah hari Jumaat. Ibu bapa diberi peringatan supaya sentiasa berwaspada terhadap kegilaan cabaran seumpama itu yang boleh mendatangkan bahaya kepada anak mereka. - CARI
|
ADVERTISEMENT