|
Krisis gangguan bekalan air yang melanda Lembah Klang pada masa ini didapati berpunca daripada pencemaran diesel yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan mengorek pasir di hulu Sungai Selangor. Menurut Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, pencemaran diesel dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang. Akibatnya, kedua-dua loji berkenaan terpaksa dihenti tugas mulai pukul 6 petang pada 21 Julai dan insiden itu merupakan yang kedua dalam tempoh tiga hari sehingga menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar kepada pelanggan. Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) juga telah melaporkan tentang insiden pencemaran diesel itu kepada pihak berkuasa. "Pihak kami tidak dapat memastikan jangka masa pemulihan sekiranya insiden pencemaran sumber air mentah kembali berulang dan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang insiden yang berlaku pada hari ini," kata Abdul Raof seperti dipetik dalam kenyataan media yang disiarkan melalui laman Facebook Air Selangor. Sebahagian besar netizen yang kesal dengan krisis air yang berpanjangan itu mendesak agar Air Selangor mengambil tindakan yang lebih konkrit bagi memastikan insiden serupa tidak berulang. Mereka mempersoalkan bagaimana pencemaran boleh berlaku kerana kawasan tadahan air kebiasaannya ditutup dan dikawal rapi bagi mengelakkan pencerobohan. Segelintir netizen mendakwa krisis gangguan bekalan air gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak yang bertanggungjawab. Mereka yang tidak lagi dapat bersabar mendesak agar individu yang gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan untuk meletak jawatan. Memetik laporan Malay Mail pada 20 Julai, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar menyatakan bahawa pencemaran bau air sungai merupakan kejadian yang biasa di Selangor. Diharap krisis ini dapat diselesaikan segera kerana gangguan bekalan air yang berpanjangan akan mengganggu urusan kehidupan seharian. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|