Norlia Ghani Suatu ketika, biarpun diperkenalkan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi sebuah filem, nama Norlia Ghani masih gagal memikat peminat. Entah kenapa tuah tidak bersamanya ketika itu dan tanpa berputus asa dia kemudiannya beralih arah dengan menjayakan drama radio bergenre komedi terbitan RTM. Usahanya sekali lagi tidak menjadi apabila mengalami nasib serupa. Bagaimanapun Norlia terus mencuba untuk menggilap namanya dan kemudiannya menerima tawaran melakonkan watak Joyah dalam drama bersiri popular Opah pada 1980-an. Ternyata pilihan itu berhasil apabila watak wanita yang suka menjaga tepi kain orang ini begitu digemari ramai dan menjadi antara tarikan penonton. Bermula dari situlah langkahnya dalam dunia seni semakin berkembang luas. “Drama Opah benar-benar berjasa kepada saya. Bayangkan siri drama yang panjang ini membuatkan saya mempunyai pengikut tersendiri. Apabila disiarkan semula pun masih ramai yang nak tengok. Sebagai pelakon, bagi saya ini satu kejayaan membanggakan,” katanya ketika pelancaran musim baru Opah yang diterbitkan RTM. Drama berjudul Opah (Hadirmu Satu Anugerah) sebanyak 20 episod ini diarahkan Zamani Ibrahim. Ia menampilkan Fadilah Mansor, Shaharudin Tambi, Norlia Ghani, Zizan Nin, Anne Ngasri, Hairie Othman, Aida Khalida dan ramai lagi. Boleh dikatakan Opah berwajah baru ini menampilkan 90 peratus wajah baru dan hanya Norlia dikekalkan. Mengulas perkara ini, Norlia, 65, berkata pada peringkat awal dia sebenar-nya tidak tahu mengenai perkara ini. Bagaimanapun dia menghormati keputusan yang dibuat RTM kerana mereka ada sebab tersendiri menentukan pelakon yang sesuai untuk membintangi drama ini. “Apabila dengar kata Opah nak dibuat semula, saya memang berharap dipilih berlakon. Seperti yang saya kata, Opah adalah sumber rezeki dari dulu sampai sekarang. Saya pun mulanya ingat pelakon dulu akan dipanggil semula, tapi rupa-rupanya tidak kerana hanya saya saja yang kekal. “Sekarang Joyah dilihat sebagai penyeri drama ini. Pergi ke mana-mana pun orang masih tetap panggil nama saya sebagai Joyah,” katanya. Menurutnya, dia juga rasa janggal berlakon kerana suasananya berbeza berbanding dulu. Kalau dulu bahasa yang digunakan lebih kepada loghat daerah Perak tapi sekarang sudah ditetap-kan dalam bahasa ‘standard’. Hubungan dengan pelakon lain kurang rapat berbanding dulu kerana masing-masing ada komitmen lain sekiranya tidak terbabit dengan penggambaran. “Dulu hanya ada satu-satunya stesen RTM jadi semua pelakon akan berkumpul sama-sama. Di sinilah kami dapat baca skrip sambil berbincang bersama-sama. Seronoknya sukar digambarkan. Lokasi penggambaran banyak dibuat di Teluk Intan berbanding sekarang di Batu Kurau,” katanya yang mengakui merindukan suasana lalu. Opah musim baru akan mula menemui penonton menerusi TV1 setiap Rabu bermula pada 28 Ogos ini, jam 9 malam. Kali ini paparan ceritanya mengisahkan kehidupan anak-anak Opah Kalsom (Allahyarham Zaiton Hussein) dan cucu-cucunya selepas 10 tahun dia meninggal dunia. Kali ini fokus ceritanya bertumpu kepada Jenab, anak sulung Opah dan anak-anaknya. Dia yang kini bergelar Opah adalah ibu tunggal dan menetap di rumah peninggalan Opah Kalsom. Jenab tinggal bersama adiknya Alang Yasin yang masih belum berkahwin. Anaknya Siti dan suami serta anak-anaknya Zahara dan Amirul turut tinggal di situ. Tiga lagi anak Jenab ialah Hawa, Zura dan Lina. “Berbanding dulu, cerita sekarang lebih ‘advance’ di mana anak-anak Jenab sudah membesar dan ada bisnes sendiri. Apa yang diperlihatkan adalah kemajuan generasi keluarga Opah Kalsom. Unsur-unsur kekeluargaan tetap ada kerana ia inti pati drama ini sejak dulu. Opah yang ini juga ada petua seperti mana Opah Kalsom,” katanya. Sementara itu, Zamani mengakui menggalas tanggungjawab berat apabila diminta menerbit dan mengarahkan drama ini. Apatah lagi Opah satu nama besar dan diminati ramai satu ketika dulu. “Saya antara pengikut siri ini ketika membesar dulu. Jadi apa yang dihasilkan sekarang memang diikut dari yang lama. Bahkan saya juga tengok siri drama ini yang ditayangkan kembali sebagai panduan. Skripnya masih ditulis oleh penulis asal iaitu A Wahid Nasir cuma saya olahkan sedikit sebanyak bagi disesuaikan dengan keadaan sekarang. “Tak dinafikan mula-nya saya takut juga. Tapi drama ini pun diterbitkan atas desakan peminat juga yang rindukan drama Opah. Kalau kita lihat sekarang, drama yang ada hanya tampilkan isu cinta dan tiada yang membentuk masyarakat. Inilah pentingnya drama seperti Opah dihasilkan semula. “Sebelum buat Opah bersiri, saya hasilkan telefilem Opah berjudul Silap Menghitung dan apabila ditayangkan mendapat ‘rating’ tinggi daripada penonton. Ini berikan keyakinan yang siri ini pasti akan mendapat sambutan baik juga,” katanya.
|
6
Bagus |
1
Marah |
4
Terkejut |
10
Sedih |
6
Lawak |
4
Bosan |
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
ADVERTISEMENT