LAMA atau baru, itu bukanlah kayu pengukur bagi individu yang bergelar anak seni untuk berjaya dalam karier yang mereka ceburi. Kesungguhan dan minat yang mendalam seseorang artis dalam menjalani karier mereka merupakan perkara penting dalam memastikan ianya terus berkembang dengan baik. Bagi bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh, Akim Ahmad biarpun bakatnya mula diasah menerusi bidang nyanyian namun itu bukan penghalang buat dirinya mencuba nasib dalam bidang lain dalam industri hiburan tanah air. Turut memiliki bakat dalam bidang lakonan, Akim juga memberitahu dirinya kini mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan. Berlainan pula dengan pelakon genit, Nad Zainal yang akui penantiannya selama lima tahun dalam industri lakonan kini amat berbaloi setelah lakonannya mula diterima ramai. Malah gandingannya bersama Akim menerusi drama terbaru Kampung Girl di slot Zehra, TV3, bakal mencuri tumpuan ramai sempena Ramadan ini. Berada dalam zon selesa: Nad Berkongsi pengalaman bergandingan dengan Akim menerusi drama tersebut, Nad memberitahu kerjasama sebelum ini membuatkan mereka mudah mencapai keserasian. "Akim seorang yang senang untuk bekerjasama. Walaupun pada awal-awal penggambaran dia agak pemalu, tapi semuanya berubah setelah kami mendapat keserasian mendalami karakter masing-masing. "Memandangkan drama ini mengetengahkan elemen romantik komedi, banyak momen kelakar yang kami lalui bersama dan bagi saya drama ini tidak banyak cabarannya," katanya. Bertanyakan mengenai tawaran lakonan, aktres yang mula dikenali menerusi drama 'Memberku Hawa' bersyukur kerana semakin rancak menerima tawaran. Menurut Nad, lima tahun berada dalam industri pelbagai cabaran telah dilaluinya sebelum dia berada di zon selesa sekarang. "Kalau mahu cakap pasal tawaran yang tidak putus, ianya berlaku baru-baru ini sahaja. Sebelum ini saya memang berusaha keras untuk sampai ke tahap ini. "Saya bersyukur kerana penantian saya amat berbaloi dan selagi termampu saya akan lakukan yang terbaik supaya tidak mengecewakan peminat yang selama ini menyokong kerjaya saya," ujarnya. Akim mahu lebih versatil Melihat perjalanan seninya, boleh dikatakan Akim kini semakin rancak menceburi bidang lakonan. Selain terlibat dalam Kampung Girl, dia juga bakal tampil dengan sebuah drama, Abang Long Vs Kak Yong lakonan bersama Yana Samsudin pada sambutan Aidilfitri ini. "Alhamdulillah, bila rezeki datang pada saya, kenapa tidak saya ambilnya. Lagi pun secara tidak langsung bidang lakonan turut bantu mempromosikan bakat saya untuk kebaikan saya dan juga peminat. "Saya mahu menjadi lebih versatil dengan bakat yang ada. Sebagai seorang penggiat seni, kalau boleh saya mahu mengembangkan karier dengan pelbagai bidang," katanya yang kini bergelar pengacara untuk program Mencari Ramli, TV3. Menyentuh mengenai perkembangan karier nyanyiannya, Akim gembira kerana percubaan pertamanya dalam menghasilkan lagu tulisan sendiri berjaya mencuri tumpuan pendengar tempatan. "Lagu kembali duet antara saya dan Stacy setakat ini sambutannya amat menggalakkan. Ia juga berjaya mendapat tempat di beberapa carta lagu tempatan. "Boleh dikatakan ini satu platform baru buat saya untuk terus kembangkan karier nyanyian saya selepas ini," katanya.
|
ADVERTISEMENT