Kedatangan Ramadan tahun ini disifatkan manis dan membahagiakan bagi pelakon dan penyanyi, Nelissa Nizam, 27, apabila sudah berbaik semula dengan ibunya, Ayu Manaf.
Nelissa atau Nelissa Edreena Nizam ditemui berkata, segala kemelut yang berlaku dalam keluarga membabitkan dia dan ibunya sejak beberapa bulan lalu sudah diselesaikan secara baik.
"Alhamdulillah, semua yang berlaku (salah faham) antara saya dan mama sudah kami selesaikannya dengan baik, baru-baru ini iaitu sehari sebelum puasa Ramadan.
"Saya ada bertemu mama di rumahnya dan memang niat saya pun nak tamatkan konflik yang timbul bersama keluarga secara 'privacy' (peribadi). Alhamdulillah, ia berjalan lancar.
"Saya tak nafikan sekarang ini perasaan memang rasa sangat lega kerana semuanya sudah selesai dan kembali baik. Cuma, saya harap perkara ini tidak akan diungkit lagi," katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Nelissa hadir pada acara Fiziwoo's Raya Collection - Iftar Soiree di Setiawangsa, di sini, malam tadi yang turut melancarkan koleksi tudung bawal istimewa dengan harga 'mampu milik' sambil menderma.
Nellisa yang juga bekas anggota kumpulan The Gadys berkata, kemelut berlaku antaranya dan ibu diakui membawa impak kurang selesa kepadanya apabila menjadi perhatian di media sosial.
Katanya, dia bagaimanapun sedar dan faham tidak semua benda terjadi dalam kehidupan boleh dikawal dan apa saja yang sudah berlaku itu serta perkara akan datang adalah ujian Tuhan.
Pada Disember tahun lalu, Nelissa ketika ditemubual media mendakwa dirinya membesar dalam suasana penderaan emosi kerana menjadi mangsa keganasan rumah tangga membabitkan ibu bapanya sebelum bercerai.
Susulan dakwaan Nelissa itu membuatkan ibunya tampil membuat kenyataan balas bagi meleraikan segala spekulasi tercetus berkaitan hal keluarga yang didedahkan anaknya.
Ayu memberi penjelasan yang didakwa mendatangkan pertanyaan banyak pihak terutama anggota keluarga apabila dia mendedahkan hubungannya dengan anak-anak sudah renggang.
Malah, Ayu turut mengaitkan situasi berlaku dengan anak-anaknya mungkin berpunca daripada perkahwinan baharunya yang kurang disenangi sehingga tiada anak datang melawatnya ketika sakit dan dirawat di hospital.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|