TAIPEI: Taiwan meletakkan angkatan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga termasuk melancarkan latihan kesiapsiagaan tempur susulan kapal perang dan kapal pengawal pantai China dikesan di perairan negara itu. Latihan terbabit turut dilakukan sebagai tindak balas terhadap tindakan tentera China (PLA) yang mengehadkan ruang udara di pesisir pantai China. Kementerian Pertahanan Taiwan dalam kenyataan berkata, sebagai tindak balas kepada tindakan PLA berkenaan, pihaknya melancarkan latihan kesiapsiagaan tempur dengan mengambil kira ancaman musuh, keadaan cuaca dan kedudukan taktikal. Dalam pada itu, tiada pengumuman rasmi segera daripada PLA atau media rasmi China mengenai peningkatan aktiviti ketenteraan di sekitar Taiwan. China bertegas bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya dan kerap menghantar jet pejuang serta kapal tentera laut untuk memperkukuhkan tuntutan kedaulatannya.
Terdapat spekulasi hangat mengenai kemungkinan China melancarkan latihan ketenteraan sebagai tindak balas terhadap lawatan Presiden Taiwan, Lai Ching-te, ke Pasifik minggu lalu, termasuk dua persinggahan di Amerika Syarikat (AS). Ketika berada di Guam pada Khamis lalu, Lai bertemu dengan Speaker Dewan Perwakilan AS daripada Parti Republikan, Mike Johnson iaitu hubungan tertinggi yang dilakukan pemimpin Taiwan itu sepanjang lawatannya selama seminggu, yang telah mendapat kritikan keras daripada China. Kementerian Luar China Jumaat lalu memberi amaran kepada Taiwan bahawa mencari kemerdekaan dengan bantuan AS pasti akan menemui kegagalan dan menggesa AS untuk berhenti campur tangan dalam hal berkaitan Taiwan. Menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan latihan ketenteraan China di sekitar Taiwan selepas lawatannya, Lai memberitahu pemberita pada Jumaat lalu bahawa 'mengangkat penumbuk tidak sebaik membuka tangan'. "Tidak kira berapa banyak latihan ketenteraan, kapal perang, atau pesawat yang dihantar China untuk memaksa negara jiran, ia tidak akan memenangi penghormatan mana-mana negara," kata Lai. Lawatan berkenaan yang merupakan lawatan pertama Lai ke luar negara sejak memegang jawatan pada Mei lalu itu bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan di Pasifik, di mana China telah mencuri sekutu Taiwan. Walaupun Taiwan menganggap ia sebagai sebuah negara berdaulat dengan kerajaan, tentera, dan mata wangnya sendiri, China bertegas bahawa Taiwan adalah milik China dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk membawanya di bawah kawalan. - AFP Sumber:- Berita Harian |
ADVERTISEMENT