Kuala Lumpur: Selangor FC menerima tamparan hebat apabila pengendali pasukan Nidzam Jamil memutuskan untuk meninggalkan skuad Gergasi Merah dengan serta-merta. Situasi terbabit disahkan pengurusan Selangor FC yang menyatakan bahawa Nidzam mahu mengundur diri daripada mengendalikan pasukan itu. "Selangor FC mengumumkan bahawa Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil telah meletakkan jawatannya, berkuatkuasa serta-merta. Beliau memohon untuk mengundur diri dari mengemudi pasukan utama Selangor FC dan pihak kelab menghormati keputusan beliau. "Kelab ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Nidzam atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya. "Di bawah bimbingan beliau sebagai Ketua Jurulatih pasukan utama, Selangor FC kini sedang berada di antara kelompok teratas liga, muncul naib juara Piala FA musim ini, serta menduduki tempat teratas Kumpulan H untuk saingan AFC Liga Juara-Juara Dua
"Beliau banyak memupuk semangat kompetitif di kalangan pemain, dan kepimpinan beliau memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi pasukan sehingga kini. "Tugas ketua jurulatih pasukan utama Selangor akan digalas oleh Abdi Hassan secara interim sementara kelab mengenalpasti ketua jurulatih baru. "Selamat maju jaya dan terima kasih diucapkan kepada Nidzam atas segala sumbangan dan komitmen beliau kepada Selangor FC," dipetik dari kenyataan pihak kelab. Mengikut rekod, Nidzam dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan itu selepas Tan Cheng Hoe meninggalkan pasukan sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia musim 2024/2025. Sumber : Harian Metro |
ADVERTISEMENT