Serdang: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui beliau bimbang akan penguasaan pekerja dalam sektor pertanian negara yang dimonopoli tenaga kerja warga asing. Beliau mendedahkan ada rakyat tempatan yang bertindak menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing sehingga mengundang monopoli golongan itu. Justeru, beliau menegaskan yang kegiatan itu perlu dihentikan segera bagi memastikan sektor pertanian dikuasai pengusaha dan pekerja tempatan. "Lesen Ali (Bumiputera) tetapi yang buat Baba (warga asing). Macam buat bendang, kita kena lihat dengan serius kenapa di Sekinchan, Selangor berjaya. "Orang kita apabila buat kerja sendiri kadang-kadang tidak boleh (fokus) tetapi kalau kaum lain apabila mereka buat kerja sendiri, mereka (fokus) betul sampai ke malam. "Kita tak mahu (kisah) lama berulang, kalau tahun 60-an, 70-an dan 80-an dan 90-an, Ali… Ali ini di kalangan bumiputera yang memilik lesen dan mendapat peluang (perniagaan), menjadi pengerusi dan sebagainya tetapi yang menjalankan kerja Baba. Baba ini biasanya dari kalangan Tiong Hua.
"Tahun 2000 ke atas Ali tidak berubah tetap Ali yang mendapat peluang, mendapat lesen, menjadi pengerusi, tetapi yang menjalankan kerjanya Bangla (warga Bangladesh)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Agro MADANI 2024 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini. BH sebelum ini pernah melaporkan mengenai rantaian perbekalan sayur-sayuran di Malaysia yang didakwa mula dikuasai pendatang asing yang turut dipercayai makin memperluaskan kebun diusahakan mereka secara haram. Warga asing itu dikesan mengusahakan kebun sayur-sayuran secara haram dengan saiz keseluruhan kini dikatakan hampir 1,000 hektar. Kegiatan berkenaan yang dikatakan mula aktif sejak lima tahun lalu didedahkan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia yang membuat pemantau dan risikan melalui ahlinya di seluruh negara. Pengerusinya, Lim Ser Kwee, dilaporkan mendakwa pendatang asing warga Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya kini membina rangkaian dari peringkat kebun sayur, pengedaran hinggalah jualan di lot niaga beberapa pasar borong utama di Semenanjung. Sumber : Harian Metro |
clueless_gamer: mohon bang mat pergi check sup ...
ADVERTISEMENT