SEOUL: Korea Utara mengecam serangan mendadak Ukraine yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Barat terhadap Russia sebagai tindakan keganasan yang tidak boleh dimaafkan. Justeru, Pyongyang menegaskan akan terus menyokong Russia dalam usaha melindungi kedaulatannya, katanya yang memetik laporan media negara itu hari ini. Lapor agensi berita KCNA, kempen Ukraine ke Russia adalah hasil daripada dasar konfrontasi anti-Russia didalangi AS, sehingga berpotensi meletusnya perang dunia ketiga. Mengikut laporan agensi berkenaan yang mendakwa AS menyalurkan sejumlah dana dalam bentuk senjata kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. "Kami dengan tegas mengecam serangan bersenjata ke atas wilayah Russia oleh rejim boneka Zelensky di bawah kawalan dan sokongan AS dan Barat, sebagai tindakan pencerobohan dan keganasan yang tidak boleh dimaafkan," kata Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan seperti disiarkan KCNA.
Korea Utara memperkukuhkan lagi hubungannya dengan Russia secara dramatik setahun lalu, dengan dua pertemuan oleh pemimpin mereka yang berjanji untuk bekerjasama dengan lebih erat dalam semua bidang. Pada Jun lalu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden Russia, Vladimir Putin, menandatangani perjanjian di Pyongyong mengenai perkongsian strategik menyeluruh, termasuk perjanjian pertahanan bersama. Korea Selatan, Ukraine dan AS didakwa menuduh Korea Selatan membekalkan artileri serta peluru berpandu kepada Russia untuk digunakan dalam perang menentang Ukraine. Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan oleh Korea Utara dan Russia. - REUTERS Sumber: Berita Harian |
ADVERTISEMENT