JAKARTA – Seramai 10 pemain badminton terbaik dan terkenal termasuk yang telah bersara di dunia disenaraikan oleh akhbar Tempo kelmarin. Menurut akhbar tersebut, senarai tersebut meneliti latar belakang pemain badminton terbaik dan paling terkenal seperti disiarkan laman thesporting.blog. Senarai Pemain Badminton Terbaik dan Terkenal di Dunia itu ialah: 1- Lin Dan (China) Lin Dan, sering digelar sebagai ‘Super Dan’. Kecemerlangan di gelanggang menyebabkannya dipuji sebagai pemain terhebat dalam sejarah badminton. Pemain badminton China itu mempunyai pencapaian yang mengagumkan termasuk membolot dua pingat emas Olimpik (2008, 2012) dan lima gelaran Kejohanan Dunia. Penguasaannya di gelanggang terutamanya dalam situasi tekanan tinggi mengukuhkan kedudukannya sebagai legenda badminton sejati.
2- Datuk Lee Chong Wei (Malaysia) Dilahirkan di Bagan Serai Malaysia, Chong Wei mudah menjadi antara pemain badminton paling terkenal di dunia. Dia sebenarnya memulakan kariernnya ketika berusia 11 tahun. Terima kasih kepada bapanya yang menyokong dan memberi motivasi kepada Chong Wei untuk menceburi sukan itu. Sepanjang kariernya sebagai pemain badminton, Chong Wei mencatatkan namanya sebagai pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali iaitu pada 2008, 2012, dan 2016. Berikutan prestasi hebatnya di gelanggang, dia diberikan anugerah Datuk. 3- Taufik Hidayat (Indonesia) Pemain badminton legenda ini dilahirkan pada 10 Ogos 1981 di Bandung dan merupakan antara pemain badminton terbaik di dunia. Terkenal dengan pukulan kilas yang kuat dan gaya permainan yang anggun, Taufik telah memenangi 27 gelaran sepanjang kariernya. Walaupun sudah bersara pada 2012, beliau kekal sebagai tokoh ikonik dalam sukan Indonesia dan menjadi contoh kepada pemain muda. 4- Susi Susanti (Indonesia) Susi Susanti adalah seorang lagi legenda Indonesia dalam sejarah badminton. Dia mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas Olimpik pertama buat negaranya pada 1992 selepas mengalahkan Bang Soo-Hyun dari Korea Selatan. Etika kerjanya yang tidak henti-henti dan prestasi yang konsisten dalam kejohanan utama telah menjadikannya sebagai pemain elit badminton. Suaminya, Alan Budikusuma juga merupakan antara pemain terbaik Indonesia sepanjang zaman. 5- Peter Hoeg Gade (Denmark) Peter Hoeg Gade terkenal dengan gerak kaki yang cemerlang dan permainan agresif di gelanggang. Gade merupakan pemain yang dominan dalam badminton Eropah, memenangi lima Kejohanan Eropah dan Terbuka Seluruh England pada 1999. Dia pernah menduduki ranking dunia No. 1 dari 1998 hingga 2001. Gadek bersara pada 2018 dan mengasaskan akademi badmintonnya sendiri selepas itu. 6- Saina Nehwal (India) Dilahirkan pada 17 Mac 1990, Saina Nehwal ialah pemain badminton India. Berasal daripada keluarga yang ibu bapanya juga pemain badminton, dia pastinya mudah mencari laluannya dalam sukan ini. Nehwal memulakan perjalanannya dalam kejohanan antarabangsa pada 2006. Sejak itu, dia telah membolot pelbagai anugerah termasuk 24 gelaran dan menjadi pemain India pertama memenangi pingat di Sukan Olimpik. 7- Kento Momota (Jepun) Pemain badminton Jepun ini pernah mencatatkan namanya dalam Guinness World Records kerana membolot kejuaraan perseorangan lelaki badminton paling banyak dalam satu musim. Momota memenangi 11 kejuaraan sepanjang musim 2019. Kerjayanya bermula semasa dia di darjah dua. Momota menyertai pasukan kebangsaan Jepun pada tahun 2011 dan pernah memenangi Kejohanan Dunia dan Asia. Gaya permainannya yang tidak henti-henti di gelanggang menjadikan dia lawan yang hebat di pentas antarabangsa. 8- Li Lingwei (China) Li Lingwei disanjung sebagai legenda dalam dunia badminton. Pencapaian ketaranya ialah pada era 1980-an. Dia memenangi tiga gelaran Kejohanan Dunia selain All England. 9- Viktor Axelsen (Denmark) Viktor Axelsen adalah antara pemain badminton yang terkenal. Juara Eropah tiga kali ini telah mempamerkan pencapaian yang mengagumkan walaupun pada usia mudanya. Dia memenangi Kejohanan Remaja Kebangsaan pada 2006 dan 2008 untuk perseorangan dan beregu. Perjalanan antarabangsanya bermula pada 2009. Sejak itu, dia meraih pingat emas dan gangsa termasuk Sukan Olimpik hingga Piala Thomas. 10- P.V. Sindhu (India) Memulakan kerjayanya pada usia 8 tahun, Sindhu menunjukkan prestasi yang luar biasa dalam Sukan Olimpik 2016. Dia menjadi wanita India pertama memenangi pingat perak, serta pemain muda India yang mendapat gelaran itu. – AGENSI Sumber: KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT