CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Hasrat ayah meninggal di Tanah Suci termakbul

21-6-2024 10:20 AM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 7335| Komen: 0


MAKKAH: Fazrihin bagaikan tidak percaya dan menganggap ia hanya gurauan apabila diberitahu mengenai kematian ayahnya, hinggalah Ketua Maktab 79, Al'Amin Jaminon memberitahu bahawa dia memang suka bergurau tetapi tidak jika mengenai kematian.

"Apabila Al'Amin memeluk saya sambil memberitahu sekali lagi ayahnya sudah tiada barulah saya tersentak dan sedar, lalu berkata mana mungkin ayah saya sudah tiada lantas Al-Amin pun terus memeluk erat sambil berkata lagi itulah jalan ayah awak," katanya.

Fazrihin Bawi, 27, anak bongsu dari lapan beradik berasal dari Betong, Sarawak ini datang menunaikan haji bersama Allahyarham Bawi Solek, 74, dan ibunya Sepot Ujang, 71.

Menceritakan detik-detik akhir bersama Allahyarham ayahnya, Fazrihin berkata, sebelum meninggal, dua tiga hari ini dia perasan ayahnya kuat berpeluh walaupun dalam bilik berhawa dingin.

"Sudah diberi ubat tak mahu makan dan makan juga tak mahu kerana tiada selera. Masa di kampung saya dipaksa banyak kali untuk teman dia, sepatutnya kakak yang pergi tetapi dia paksa saya dan dia marah sebab tak nak ikut dia. Saya tak boleh pergi sebab kekangan kerja.


"Selepas Tabung Haji menelefon yang perlukan peneman lelaki barulah saya bersetuju dan pergi buat pemeriksaan kesihatan dan buat pasport dalam masa seminggu. Barulah ayah kelihatan gembira," tambahnya.

Namun, di ambang kematiannya ayah menjadi seorang yang pendiam berbanding sebelum ini yang suka bercakap.

Tambahnya, ketika di lapangan terbang pun ayahnya sudah menunjukkan kelainan ketika memeluk kakak yang paling tua.

"Dia memeluk erat kakak hingga saya pun merasa pelik kerana biasanya ayah tidak begitu. Di dalam penerbangan juga dia menjadi senyap dan kemudian kawan dia pula sampai, tetapi ditanya dia hanya jawab sepatah tak banyak sembang," katanya.

Kata Fazrihin, kali terakhir dia dan ayahnya ialah ketika hari hendak melontar jamrah.

"Lepas asar kami berdua pergi melontar dan ketika melalui terowong pertama muassim dia masih boleh berjalan dan berehat sebentar minum air.

"Selepas bergerak semula di terowong kedua saya mula berasa pelik melihat ayah yang berjalan terhoyong-hayang. Saya suruh dia berhenti rehat minum tetapi ditolak kerana belum haus, padahal suasana dalam terowong ketika itu terlalu panas," katanya.

Apabila badan ayahnya mula menggigil dan tidak lama kemudian dia sesak nafas, Fazrihin tidak berfikir panjang untuk mencari kerusi roda tetapi tidak jumpa lalu memikul ayahnya sejauh 100 meter tetapi dia kelihatan semakin lemah lalu dipikul kembali dan berjalan dalam 50 meter lagi tetapi dia rebah.

"Saya cuba memeluk tetapi rebah sekali lagi dan kelihatan nafasnya semakin sesak. Polis datang membantu, dia minta bapa baring beralaskan kain ihram. Pasukan perubatan Indonesia pun cuba membantu dan ketika itu nadi ayah sudah terhenti.

"Saya berlari mencari pasukan perubatan Malaysia pula dan mereka melakukan CPR hinggalah saya pergi ke kawasan jamrah lalu meminta bantuan pasukan kecemasan. Mereka melakukan CPR lagi dan ketika ayah masih sedar dan terus dibawa ke hospital. Saya pun diminta balik ke khemah di Mina," tambahnya.

Fazrihin berkata pada 2016 selepas bapanya balik dari mengerjakan umrah dia ada bercerita daripada mati di Malaysia lebih baik mati di Tanah Suci. Allahyarham memang bercita-cita untuk mati di Makkah.

Keesokan pagi selepas menerima perkhabaran, beliau dibawa ke hospital untuk pengecaman jenazah, minta untuk dimandikan lalu dibalut dengan kain ihram.

"Saya iringi jenazah untuk disolatkan selepas Zuhur di Masjidil Haram lalu dikebumikan di Tanah Perkuburan Syuhada," katanya.

Sumber : Berita Harian

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 02:48 AM GMT+8 , Processed in 0.029544 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top