NEW YORK – Sepasang kekasih berjaya memancing peti besi mengandungi wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM470.679) di sebuah tasik di Bandar Raya New York, lapor akhbar New York Post kelmarin. James Kane dan Barbie Agostini membaling pancing magnet ke dalam tasik itu di Taman Corona petang Jumaat lalu. Apabila merasakan mengenai sesuatu yang besar semasa ‘memancing’, mereka menarik tali dan mendapati ia adalah peti besi lama. Mereka membuka peti besi tersebut dan menemui wang itu yang dibalut dengan plastik. “Malangnya, wang ini basah dan hampir musnah,” kata Kane yang merupakan seorang pemancing magnet veteran. Mereka menghubungi polis untuk mengelakkan sebarang masalah undang-undang. Oleh kerana tiada cara untuk mengenal pasti pemilik peti besi itu yang berkemungkinan dicuri, Kane dan Agostini dibenarkan menyimpan wang tersebut. – AGENSI
|
ADVERTISEMENT