MELAKA – Seorang pemandu lori mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap adik kandungnya dengan menyimbah minyak petrol gara-gara bertengkar hal keluarga, Isnin lalu. Tertuduh, B. Arumugam, 41, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah mendatangkan ketakutan B. Surendran, 27, dengan cara menyimbah minyak petrol terhadap mangsa kira-kira pukul 6.18 petang di sebuah rumah bernombor, Taman Maju Jasin dalam daerah Jasin pada 13 Mei 2024. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon tarikh sebutan baharu bagi fakta dan hukuman serta menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah, manakala isteri tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 10 Jun depan untuk fakta dan hukuman di Mahkamah Majistret Jasin. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT