Putrajaya: Sebanyak 36 lagi negara berisiko rendah dibenarkan menggunakan sistem pagar automatik (Autogate) di semua pintu masuk negara yang memiliki kemudahan itu berkuat kuasa 1 Jun ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, antaranya membabitkan semua negara Kesatuan Eropah (EU), Bahrain, Qatar, Oman, Jordan, China, Kanada, Hong Kong serta Taiwan. "Tahun lalu kami umumkan 10 negara berisiko rendah boleh melalui Autogate dan berkuat kuasa 1 Jun ini, kami buka kepada 36 negara lagi, menjadikan semuanya 46 negara yang boleh menggunakan kemudahan berkenaan. "Inisiatif ini membolehkan pemeriksaan di pintu masuk lebih cepat dan dipermudahkan tanpa kompromi elemen keselamatan, sekali gus menangani kesesakan di pintu masuk negara," katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, tadi.
Tahun lalu, kerajaan membenarkan warga Singapura, Brunei, New Zealand serta negara Kumpulan Tujuh (G7) yang berkunjung ke negara ini menggunakan sistem Autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kemudahan itu yang sebelum ini hanya dikhaskan untuk rakyat Malaysia adalah bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara. Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, langkah diambil kerajaan itu penting memandangkan data kemasukan pengembara melalui pintu masuk utama negara adalah seramai 40 juta orang dari 1 Januari 2023 hingga April lalu. Katanya, 30.5 juta pengembara yang direkodkan itu memasuki negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2 serta di pintu masuk melalui Johor. "Dengan penambahbaikan ini, kita berharap dapat menangani isu kesesakan di semua pintu masuk utama negara," katanya. Selain itu, beliau berkata, kemudahan terbabit turut diberikan kepada semua kakitangan diplomatik yang bertugas di Malaysia termasuk keluarga mereka. "Tahun depan Malaysia menjadi Pengerusi Asean yang mana mesyuarat di peringkat menteri dan pegawai kerajaan bakal berlangsung. "Ini adalah langkah awal untuk kita persiapkan proses ketibaan mereka dapat diuruskan dengan cepat dan mudah," katanya. Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan rakan sejawatnya di Kementerian Pengangkutan serta pengendali lapangan terbang untuk menempatkan lebih banyak papan tanda serta pengiring bagi memaklumkan mengenai kemudahan yang disediakan. "Kita juga bercadang untuk menambah jumlah Autogate di KLIA 1 dan 2, buat masa sekarang kami ada 54 di KLIA 1 dan KLIA 2, jadi kami berhasrat menambah 40 lagi menjadikan jumlahnya 94," katanya. Ditanya sama ada ia akan membabitkan penambahan peruntukan bagi melaksanakan usaha itu, Saifuddin berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri sekiranya terdapat elemen perolehan. "Kementerian Kewangan akan memberi keutamaan dan saya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan II," katanya. Mengenai kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor, Saifuddin berkata, terdapat beberapa inisiatif yang sudah diusahakan bagi memastikan proses imigresen dapat dibuat dengan lancar. "Berdasarkan data, seramai 350,000 pengembara keluar masuk di sana, jadi kita sedang teroka beberapa inisiatif termasuk opsyen Kod QR. "Jadi dalam tempoh terdekat kita akan membuat beberapa siri pengumuman," katanya. Sumber : Harian Metro |
ADVERTISEMENT