Bayan Lepas: Polis menahan remaja lelaki pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana disyaki terbabit dengan kegiatan samun dan menyamar sebagai polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, remaja berusia 16 tahun itu ditahan di hadapan pusat cuci kereta Lorong Sungai Dua, Desa Permai Indah, Gelugor pada 12.25 tengah malam. Katanya, penahanan suspek itu dilakukan susulan laporan yang dibuat mangsa warga asing berusia 28 tahun di Bayan Baru, baru-baru ini. "Berdasarkan laporan, suspek menyamar sebagai pegawai polis dan meminta pasport daripada mangsa. Suspek juga bertindak menumbuk muka mangsa. "Mangsa melarikan diri selepas terlihat pisau dalam raga motosikal yang dinaiki suspek," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini. Mengulas lanjut Jafri berkata, suspek yang bekerja sebagai pencuci kereta itu direman bermula hari ini hingga 4 Mei depan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan. Orang ramai boleh menyalur maklumat kegiatan atau kejadian jenayah dengan menghubungi bilik gerakan Polis Barat Daya di talian 04-8664122, 019-2238169 (Aplikasi Whatsapp) atau laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menerusi Messenger. Sumber : Harian Metro
|
ADVERTISEMENT