Anak angkat kepada pelakon dan pengacara Jaafar Onn iaitu Mohd Hanif Mohd Hashim memaklumkan Allahyarham meninggal dunia ketika sedang melakukan prosedur endoskopi pada pagi Rabu. Ketika ditemui OhBulan!, Hanif berkata doktor sebelum itu sudah memaklumkan bahawa prosedur berkenaan sememangnya berisiko tinggi disebabkan keadaan jantung arwah ketika itu dalam keadaan lemah. "Pagi tadi papa (Jaafar Onn) ada melalui prosedur endoskopi dan doktor memang ada beritahu prosedur itu berisiko sebab papa ada masalah jantung lemah tapi terpaksa buat sebab pendarahan." "Heart rate dia memang tinggi sampai 140. Masa buat endoskopi sekitar pukul 10 dan ketika melalui prosedur itu, papa mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pada pukul 11.32 pagi."
Hanif berkata demikian ketika ditemui di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor pada Rabu. Dalam pada itu, Hanif turut memberitahu pada mulanya arwah pergi ke klinik disebabkan mengalami tekanan darah rendah dan pendarahan tanpa henti semasa membuang air besar. Tambah Hanif, doktor turut memaklumkan kemungkinan pendarahan itu berlaku disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang diambil terlalu lama. "Papa mulanya mengalami tekanan darah rendah kelmarin dan dalam pada sama dia juga membuang air besar berdarah. Pendarahan itu terlampau banyak dan tak berhenti." "Kemungkinan pendarahan itu disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang diambil oleh papa. Ikutkan memang dah lama papa ambil ubat itu, sebelum saya jaga dia lagi. "Ubat tahan sakit itu dia makan sebab sakit lutut. Bulan puasa tahun lepas dia dapat tahu ada masalah jantung. Masalah jantung tu juga menyebabkan kakinya bengkak." "Berak berdarah tu pula mungkin disebabkan ada ulser dalam perut. Patutnya bulan 2 ada rawatan susulan tapi tak dapat pergi sebab ada urusan lain. Lagipun ketika itu, arwah rasa pembuangan dia sudah baik." Untuk info, jenazah akan diuruskan dahulu di hospital sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga untuk disemadikan di Tanjung Ganding, Muar, Johor. Terdahulu, Jaafar Onn dilaporkan telah pun menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang (HSIS) kira-kira jam 11.33 pagi Rabu. Kesihatan arwah dilaporkan merosot sebelum ditahan wad HSIS selepas mengalami pendarahan semasa membuang air besar. Sumber : OhBulan |
ADVERTISEMENT