Pelakon Bella Astillah, 30, menepis spekulasi yang mendakwa beliaulah yang merancang suaminya, Aliff Aziz dan Ruhainies 'ditangkap khalwat', baru-baru ini. Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabella Awang Astillah mengakui terkejut dengan dakwaan itu sambil menegaskan beliau tidak tergamak untuk menjerat Ruhainies yang dianggap sebagai rakan baik. "Kenapa saya nak rancang macam itu? Saya sendiri pun terkejut. Semua tahu saya baik dengan pelakon wanita terbabit (Ruhainies). "Sebenarnya boleh periksa dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)," katanya dalam temu bual program Melodi, hari ini. Bella sebaiknya ingin terus pandang ke depan dan reda bahawa nasi sudah menjadi bubur. Dia juga tidak mahu mempedulikan kata-kata netizen mengenai tanggapan mereka kepadanya. "Tak boleh nak cakap apa sebab benda ini sudah terjadi. Sekarang ini saya fokus untuk 'move on' sahaja," katanya.
Bella juga sempat memaklumkan ada individu menghubunginya untuk berjumpa dan ingin membantu menyampaikan maklumat berkaitan Aliff. "Saya sudah berjumpa dan ambil nombor telefon. Dia sudah lama nak cari dan hubungi saya, tapi tak berkesempatan sebab terlalu sibuk," katanya. Terdahulu, dunia hiburan gempar dengan penahanan Aliff dan Ruhainies oleh JAWI di sebuah kondominium di ibu kota pada 9 Mac lalu. Namun, mereka dibebaskan dengan jaminan sekitar jam 2 petang hari sama dan bakal didakwa di Mahkamah Syariah. Menyusul, Bella memfailkan cerai terhadap Aliff namun sebutan ditangguhkan apabila aktor itu tidak hadir kerana terikat dengan penggambaran drama. Kemudian, pada Khamis lalu, Aliff dan Ruhainies tampil menjelaskan kejadian sebenar mereka ditangkap. Mereka menafikan mempunyai hubungan istimewa. Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. Sumber : Berita Harian |
ADVERTISEMENT