Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang memutuskan untuk tidak meneruskan hubungan dengan kekasih dikenal pasti menjadi punca dirinya dilarikan dua lelaki dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, Gombak, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, mangsa ditarik secara paksa ke dalam kereta sebelum dibawa ke sebuah inap desa (homestay). Bagaimanapun, mangsa dibebaskan semula kira-kira pukul 12 tengah hari pada hari sama dan tidak dicederakan sepanjang dilarikan dan dikurung. "Hasil siasatan, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 20 tahun kira-kira pukul 11.30 malam hari kejadian. "Mangsa mengenali seorang daripada suspek yang juga bekas teman lelakinya. Suspek tidak puas hati kerana mangsa memutuskan perhubungan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jelas Ariffin, semua suspek direman empat hari bermula bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan. Dalam pada itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota putih dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR. Kesemua suspek ditahan selepas polis menerima aduan daripada ibu mangsa berusia 42 tahun pada pukul 10.36 pagi hari kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT