Seorang jurujual mendakwa dirinya membantu seorang pelanggan yang mahu membeli kereta Proton X50. Model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu begitu menawan mempunyai reka bentuk 'sporty' yang menarik dan spesifikasi berteknologi yang pasti membuatkan sesiapa saja tergoda.
Namun menjadi masalah apabila gaji pelanggan yang mahu membeli model itu tidak ‘kencang’. Jurujual itu bagaimanapun mendakwa dia telah membantu pelanggan tersebut mendapatkan kereta idaman yang dihajati, menerusi permohonan pinjaman dengan bank. “Tertolong pelanggan gaji RM2,000 beli X50. Bulanan ansuran RM1,070. “Serba salah dan terfikir macam mana dia nak survive bagi anak bini makan,” katanya menerusi satu video menunjukkan reaksinya seperti bersalah dengan menutup muka. Bagaimanapun, video tersebut dikatakan hanya strategi ‘marketing’ bagi mempromosikan dirinya sebagai jurujual model pengeluar kereta nasional itu, namun dia menafikannya.
“Realiti bang,” katanya di ruangan komen, menjawab pertanyaan netizen. Mengulas lanjut, jurujual itu menjelaskan bahawa pelanggan berkenaan sudah berkahwin dan kelulusan permohonan pinjaman adalah keputusan yang dibuat pihak bank. “Bukan saya yang lepaskan (lulus) loan tu. Saya cuma tolong je, yang luluskan adalah bank,” katanya yang berharap pelanggan itu mempunyai sumber pendapatan lain bagi menanggung keluarganya dan membayar ansuran bulanan pinjaman tanpa sebarang masalah. Rata-rata netizen melihatnya sebagai situasi 'menang-menang' iaitu pelanggan dapat memiliki kereta yang diinginkan dan jurujual memperoleh komisen daripada jualan kereta tersebut. “Bila beli kereta luar daripada kemampuan. Cuba untuk impress (tarik perhatian) rakan sebaya hanya untuk satu hari, lagi sembilan tahun sambung bayar pinjaman. “Tunggu servis kereta. Pasti makan pasir dengan gaji macam tu,” sindir netizen. Pada masa sama, ada yang turut mempertikaikan tindakan jurujual yang mendakwa berurusan dengan pelanggan bergaji kecil semata-mata mahu mengejar komisen. “Jurujual ni nak tunjuk dia hebat boleh ‘tolong’ dapatkan loan walaupun gaji (pemohon) kecil. Dia 100 peratus gembira sebab dapat komisen, tiada kaitan dengan ‘rasa bersalah’. Perkongsian itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen bagaimana individu dengan gaji RM2,000 sebulan mampu memiliki kereta X50, dengan segelintirnya menganggap pelanggan berkenaan mungkin mempunyai sumber pendapatan lain selain gaji bulanan. “Mungkin itu pendapatan yang ada pada penyata gaji dia. Tapi manalah tahu dia ada pendapatan sampingan lain. “Biasanya bank akan tengok penyata bank, bukan terus lulus dengan slip gaji. “Kalau dia rasa tak mampu, dia tak pergi beli barang tu. Berhenti la trend asyik fikir orang tak mampu itu ini,” komen beberapa netizen. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT