Kota Bharu: Polis Kelantan mendedahkan remaja berusia 16 tahun kebawah antara golongan menjadi mangsa kepada perlakuan jenayah seksual seperti rogol, liwat dan cabul di negeri ini.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sepanjang Januari hingga 17 Disember sebanyak 166 kes sudah direkodkan di negeri berbanding 91 untuk tempoh yang sama pada tahun lalu. Menurutnya, daripada jumlah tersebut 72 orang adalah pelajar baki selebihnya bukan pelajar.
“Statistik tahun lalu pula, seramai 70 pelajar dan 21 orang bukan pelajar menjadi mangsa kes jenayah seksual di negeri ini.
“Bagi kes yang disiasat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 bagi mangsa berusia 18 tahun ke bawah, sebanyak 66 kes dilaporkan pada tahun ini manakala 52 kes tahun lalu,” katanya.
Katanya, berdasarkan statistik, pelajar yang ditahan kerana terlibat dengan pelbagai kes jenayah adalah seramai 61 orang bagi tempoh Januari hingga November tahun ini dan sepanjang tahun lalu. “Sehubungan itu, semua pihak terutamanya ibu bapa dan masyarakat setempat perlu sentiasa cakna dalam usaha terus mengekang gejala sosial melibatkan remaja di negeri ini. “Kita tidak mengambil kira jumlah kes, sebaliknya bimbang kes tersebut terus berlaku kerana remaja merupakan generasi masa hadapan,” ujarnya. Sumber: Utusan |
ADVERTISEMENT