MELAKA – Dua pertuduhan pindaan mengabai tiga anaknya, seorang wanita diperintah melakukan kerja khidmat masyarakat selama 240 jam selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini. Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Masanizah Roslan, 41, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu am sekolah didakwa dengan cuai meninggalkan tiga anak kandungnya berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan. Tindakan itu mungkin boleh menyebabkan ketiga-tiga anaknya mengalami kecederaan fizikal dan emosi. Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 16 Jun sehingga 18 Jun 2021 dan 23 September sehingga 25 September 2021. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Peguam Omar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman ke atas anak guamnya diringankan dan perintah bon berkelakuan baik dibenarkan atas alasan ibu empat anak tersebut sudah insaf. Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom bagaimanapun membantah perintah bon tersebut dengan hujah ia dikhuatiri tidak mencapai sifat hukuman untuk menghalang masyarakat melakukan kesalahan sama. Darmafikri kemudian melepaskan tertuduh dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan sebanyak RM7,000 di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah. Beliau turut memerintah tertuduh melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan di bawah Seksyen 31(3A) Akta Kanak-kanak 2001.-CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT