Kluang: Beg silang milik bekas komando, Ab Manan Keri, 73, yang dilaporkan hilang ditemui orang awam di Jalan Ismail, tidak jauh dari lokasi majlis jamuan teh yang dihadiri mangsa, malam tadi.
Menurut anak mangsa, Mohamad Shahsulliah Ab Manan, 29, seorang lelaki menemukan beg silang itu dan menyerahkan kepada kakaknya, Jurainah, 46. "Lelaki berkenaan menjawab panggilan telefon milik abah dan menyimpan beg itu sebelum menyerahkan pada kakak. "Dalam beg itu ada sehelai baju merah milik abah dan beg silang itu adalah pemberian saya untuk abah. "Kami yakin abah akan ditemukan dan saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang bantu mencarinya sejak malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini. Katanya, sebelum kejadian ayahnya memandu ke pusat bandar dan menurunkan kakaknya dan adik bongsu, Siti Nur Khadijah, 28, untuk urusan bank.
"Kemudian ayah berjalan ke lokasi majlis di Dataran Tasik Kluang. Kakak dan adik membuat urusan bank sehingga selesai dan menunggu ayah di kereta. Tapi ayah tak muncul sehingga kakak buat laporan polis malam tadi," katanya. Katanya, usaha pencarian ayahnya turut dilakukan ke sungai dan longkang sekitar lokasi majlis sejak malam tadi disertai orang ramai dan pihak berkuasa. "Kami juga cuba mencari di rumah mayat hospital namun tidak berhasil. Doakan ayah ditemui selamat, InshaAllah," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis itu. -CARI Sumber: Harian Metro
|
"Kami juga cuba mencari di rumah mayat hospital namun tidak berhasil. Doakan ayah ditemui selamat, InshaAllah,"
ADVERTISEMENT