Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf, 28, berkongsi tentang momen indah terakhir bersama anaknya itu. Ibu kepada dua anak itu sempat membawa arwah bersiar-siar di sebuah pusat beli-belah terkenal di Petaling Jaya, Selangor sehari sebelum kehilangan anaknya.
“Waktu ni Isnin minggu lepas, 4 Disember. Ini terakhir mommy dan daddy dapat bawa abang jalan-jalan. Abang dan adik suka sangat jalan-jalan,” tulis Ismanira pada petang Rabu, sambil berkongsi tujuh foto dia dan suami membawa anak syurga mereka, bersama seorang lagi anak di sebuah pusat beli-belah. Menurut Ismanira lagi, dia dan suami akan sedaya-upaya menggembirakan anak-anak dengan meluangkan masa bersama walaupun sibuk. “Dapat pusing mall makan-makan tu memang gembira sangat sangat la dua beradik ni. Penat ke sibuk macam mana pun mommy daddy akan cuba juga bawa abang dan adik jalan-jalan.
“Gembira sangat abang waktu ni, mommy, daddy dan adik pun gembira waktu ni. Tak sangka ini momen gembira terakhir kita. Mommy abadikan kat sini ya,” katanya lagi. Pada tengah hari 5 Disember lalu, Ismanira berkongsi di Facebook mengenai kehilangan anaknya, sebelum meminta penduduk setempat membantu mencari kanak- kanak malang berkenaan, selepas gagal menemui anak sulung daripada dua beradik itu. Mayat Zayn Rayyan ditemukan di kawasan sungai, kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman di Damansara Damai, Selangor, kira-kira pukul 10 malam pada 6 Disember lalu. Kematian itu pada awalnya diklasifikasi sebagai mati mengejut, tetapi kemudian disiasat sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak berkenaan. Setakat ini, beberapa objek dipercayai boleh memberi petunjuk bagi merungkai pembunuhan kanak-kanak autisme itu diperoleh polis menerusi pemeriksaan dari rumah ke rumah di Blok R, Apartmen Idaman, pada malam Selasa. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT