Sibu: Tujuh kanak-kanak dan remaja lelaki ditangkap selepas disyaki mencuri tiga motosikal di Taman Sibujaya, di sini, kelmarin. Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kesemua suspek berusia antara 11 hingga 15 tahun itu dicekup selepas pihaknya menerima tiga laporan antara 7 hingga 10 pagi, yang melaporkan motosikal mereka hilang.
"Bertindak atas maklumat, pada hari sama pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Sibu dan juga Bahagian Ronda Cegah Jenayah, Balai polis Sibujaya menahan dua suspek berusia 12 dan 15 tahun. "Ia kemudian membawa kepada tangkapan lima lagi rakan mereka berusia 11 hingga 13 tahun. "Turut dirampas tiga motosikal yang dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan, hari ini. Zulkipli berkata kesemua suspek serta motosikal yang dicuri dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. "Siasatan awal polis mendapati kesemua suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek direman selama dua hari hingga 13 Disember dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT