Zamarul Hisham berkongsi detik hitam apabila dia dan isteri Diana Rafar pernah bercerai dan rujuk semula selepas itu. Zamarul berkata, keputusan untuk kembali bersatu selepas tiga bulan berpisah dibuat selepas banyak bermuhasabah diri.
“Soal rumah tangga ini sensitif sikit dan setiap apa yang berlaku ada kisah berlainan tetapi keputusan tetap sama iaitu mungkin berlaku perceraian. “Pengalaman saya ketika berpisah dahulu saya banyak muhasabah diri. Lepas solat saya tanya pada diri saya ‘kenapa aku kahwin dengan dia?’ bukan ‘kenapa aku bercerai dengan dia?’. “Saya juga tak tahu kenapa saya ambil keputusan begitu. Saya dapat keputusan di mana hati saya tenang. Saya juga tak bermusuh,” katanya kepada XTRA.
Menyifatkan tempoh itu adalah peringatan yang diberikan Yang Maha Esa kepadanya, Zamarul berkata tiada sekelumit dendam dan musuh terhadap Diana ketika itu. “Di situlah mungkin Allah panjangkan jodoh kami. Lepas kami rujuk, baru saya faham yang Allah beri peringatan untuk perbetulkan apa yang kurang. Alhamdulillah, hubungan itu dah indah dan lebih mesra.
“Susah nak cakap sebab hati dan rasa ini datang dari DIA. Mungkin juga sebab saya muhasabah diri. Saya banyak berseorangan. “Dan saya letak tidak ada dendam dan juga musuh. Saya tak mahu kemudian hari ada cakap-cakap yang tidak elok," katanya kepada XTRA. Bapa kepada tiga cahaya mata itu juga bersyukur apabila Tuhan tidak takdirkan dia untuk menemui pengganti dalam tempoh tiga bulan tersebut.
“Selepas bercerai, saya boleh buat keputusan sendiri dengan saya boleh sahaja temui cinta baru dalam hidup tetapi saya tak fikir ke arah itu. “Ia ibarat Allah selamatkan saya supaya saya tak tergerak hati fikir ke situ dan mungkin kerana itu juga Allah satukan kami kembali. “Diana juga sama, ketika itu dia tidak berkawan dengan sesiapa. Dia juga muhasabah diri,” ujarnya.
Zamarul juga sempat menitipkan pesanan buat pasangan yang sedang menempuhi detik sukar dalam rumah tangga. “Andai kata berlaku pergaduhan ataupun perceraian, cuba tanamkan di hati dengan soalan ‘kenapa aku pilih dia’, ‘kenapa aku kahwin dengan dia’ dan ‘kenapa Allah jodohkan aku dengan dia’. “Kita akan dapat jawapan. Selepas berkahwin pula kita akan nampak kekurangan dia. Bila masing-masing nampak kekurangan itu, maka perlu duduk berbincang.
“Dan di situ akan berbalik kepada ego, kalau masing-masing ego, masalah tak akan selesai. Dan jika masing-masing buang ego, Insya-Allah sekiranya jodoh masih panjang, perkara itu akan berjalan lancar,” titipnya. Untuk rekod, Zamarul dan Diana mengesahkan lafaz rujuk pada 14 Mei 2015 di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam selepas kira-kira tiga bulan cerai. -CARI Sumber: XTRA
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|