SANTO DOMINGO, REPUBLIK DOMINICA – Lima adik-beradik di Republik Dominica sentiasa diejek dan digelar makhluk asing disebabkan wajah mereka yang membengkak. The Sun melaporkan, adik beradik Isaias, Graciosa, Preciosa, Antonio dan Miguelina Bautista itu mempunyai jarak antara mata yang luas, tulang pipi besar, bonggolan pada hidung serta gigi yang buruk.
Menurut Isaias, sejak kecil mereka sering diejek dengan kata-kata penghinaan dan diberi pelbagai gelaran termasuk makhluk asing. “Sehinggakan suatu masa, kami mula percaya bahawa kami makhluk asing. Namun, kami kemudian menemui individu-individu baik hati yang memberitahu bahawa kami manusia biasa,” katanya. Adik-beradik Bautista itu turut berdepan kesukaran untuk mengenal pasti penyakit yang mereka hidap. Meskipun pakar-pakar mengesyaki ia adalah leontiasis, mereka gagal memberikan jawapan yang pasti.
Leontiasis yang biasanya dipanggil sindrom muka singa, adalah pertumbuhan berlebihan tulang tengkorak dan muka yang mengakibatkan penampilan seperti singa. Sementara itu, pakar neurologi, Dr. Franly Vazquez menyifatkan keadaan itu sebagai penyakit yang sangat jarang ditemui, di mana kurang daripada 40 kes dilaporkan di seluruh dunia. “Pesakit yang terjejas mempunyai pengumpulan kalsium dalam tulang yang membentuk muka dan tengkorak,” ujarnya. –CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT