JAKARTA – Dua budak berusia 10 dan 11 tahun ditahan polis selepas menempuh perjalanan sejauh 400 kilometer (km) dengan menunggang motosikal. Tribun Trends melaporkan, kedua-dua budak lelaki itu dikatakan mahu pergi ke Jakarta dari Penggarengan, Madura untuk menemui seorang rakan.
Mereka menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dan hanya membawa wang sebanyak 100,000 rupiah (RM30.30) yang dipinjam daripada jiran untuk membeli minyak petrol serta makanan. Mereka bertolak dari Madura pada Ahad lalu tetapi ditangkap polis kelmarin ketika tiba di Tengaran, Semarang sebelum dibawa ke Balai Polis Tengaran. Ketua Polis Tengaran, Supeno berkata, kedua-dua budak tersebut telah menempuh perjalanan sepanjang sekitar 400 km dengan menggunakan motosikal Honda Beat. Mereka diminta memberikan keterangan sebelum dijamu dengan makanan.
Tambah Supeno, hasil soal siasat mendapati kedua-dua budak tersebut mahu pergi ke Jakarta tanpa mendapatkan kebenaran ibu bapa masing-masing. Polis kemudian menghubungi keluarga mereka sebelum kanak-kanak berkenaan dibenarkan dibawa pulang. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT