PETALING JAYA – Seorang wanita dibuang keluarga disebabkan tidak menuruti permintaan ibunya untuk berpisah dengan suami. Menurut wanita yang tidak mendedahkan identitinya itu, dia mengakui sering meminjam wang daripada keluarga disebabkan kekangan kewangan lebih-lebih lagi selepas diberhentikan kerja.
“Saya baru kahwin bulan Februari lepas dan sekarang saya sedang mengandung tujuh bulan. Kami dilanda pelbagai ujian termasuk kewangan dan saya selalu minta tolong keluarga kalau perlukan duit, ibu saya tak suka dengan keadaan kami dan mintak kami bercerai, dia cakap suami saya tak boleh beri kebahagiaan kepada saya. “Tapi ujian tetap datang atas-atas sebab tertentu saya dan suami dibuang kerja dan saya terpaksa pindah ke rumah ibu saya dan suami terpaksa pindah ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. “Ibu masih dengan pendirian minta kami bercerai, ibu terus halau saya keluar rumah, selagi saya tidak mahu bercerai selagi itu dia tak nak mengaku saya ini anak dia,” luahnya menerusi kumpulan Facebook, Luahan Hati Wanita, malam tadi.
Menurut wanita itu lagi, dia kini tertekan apabila terpaksa berdepan dengan kemarahan keluarga yang terus mendesaknya untuk bercerai selain perlu bertahan hidup hanya berbakikan RM100 di tangan. “Dengan keadaan saya tengah mengandung dengan berbekalkan RM100 kat tangan saya terpaksa ikut suami ke Kuala Lumpur, kami tak ada tempat tinggal, duit pun tak cukup nak sewa bilik. “Suami pun baru bekerja, gaji tak ada lagi. Tolong doakan saya kuat kawan-kawan,” katanya. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT